Keputusan penggunaan pelitup muka diumum dalam masa terdekat - Dr Noor Azmi
Amirrul Rabbani
September 2, 2022 15:36 MYT
September 2, 2022 15:36 MYT
TAIPING: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berada pada peringkat akhir perbincangan dan kajian berhubung keperluan melonggarkan pemakaian pelitup muka di negara ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, keputusan perkara berkenaan akan diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam masa terdekat.
“KKM sedang berbincang (tentang kelonggaran pemakaian pelitup muka) dan keputusan akan dibuat tidak lama lagi.
“Sepertimana kita tahu data menunjukkan kes-kes berkaitan COVID-19 sudah mula menurun dan keadaan bertambah baik, malah kita juga sudah boleh ke masjid, bersosial, melancong dan sebagainya.
“Saya tahu banyak negara di luar sudah tidak mewajibkan penggunaan pelitup muka seperti di Amerika Syarikat, Eropah dan terkini Singapura,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Latihan Pertolongan Cemas dan Penggunaan Alat Defibrillator Luaran Automatik (AED) di Zoo Taiping and Night Safari, di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) , Tan Sri Muhyiddin Yassin, membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat bersama KKM.
Muhyiddin dilaporkan berkata, sudah ada kebiasaan dalam kalangan rakyat dan penduduk negara ini untuk memakai pelitup muka tanpa dipaksa.
Ia berdasarkan beberapa indikator COVID-19 di negara ini yang terus menunjukkan penurunan, termasuk kemasukan pesakit ke fasiliti kesihatan.
Pagi tadi Astro AWANI melaporkan, sebanyak 2,356 kes baharu direkodkan COVID-19 pada Khamis dengan lima daripadanya merupakan kes import.
Data KKM di portal COVIDNOW merekodkan sembilan kematian akibat wabak berkenaan dengan tiga daripadanya membabitkan kematian di luar fasiliti hospital (BID).