Keputusan pemakaian tangan palsu ditentukan esok - Bapa

Bernama
Julai 14, 2018 21:27 MYT
Keluarga mengharapkan Nur Zulaikha cepat sihat, dan sebarang keputusan yang diambil akan mengambil kira status pemulihan lengannya terlebih dahulu. - Bernama
Keputusan sama ada Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli, 7, yang terputus tangannya ketika membonceng motosikal, sesuai memakai tangan palsu akan diketahui selepas balutan pada bahagian yang dipotong dibuka esok.
Bapanya Zulkifli Mohamad, 38, berkata, "Doktor maklumkan malam tadi keputusan akan ditetapkan esok. Buat masa ini saya cuma berharap anak sulung saya ini sihat dan kembali ceria seperti dulu.
"Sehingga kini keadaan Nur Zulaikha Khumaira semakin stabil dan mula berselera untuk makan.
"Setakat ini dia sudah boleh makan kentang putar dan minum air kosong sahaja kerana selepas diberi minuman berperisa seperti vitagen dia mula muntah," katanya ketika ditemui Bernama di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.
Tangan kiri Nur Zulaikha Khumaira terputus selepas baju (milik ibu) yang dipakainya tersangkut pada rim motosikal kira-kira 9.30 malam kelmarin ketika membonceng ke rumah penghulu kampung bagi urusan pelajarannya.
Dia bercadang mendapatkan cop pengesahan penghulu untuk permohonan pembiayaan Yayasan Terengganu (YT) bagi menyambung pelajaran di sebuah kolej swasta di sini.
Dalam pada itu, ibu kanak-kanak tersebut, Rohidayu Siup @ Yusof, 29, meminta orang ramai agar menghentikan penularan gambar wajah anaknya susulan kejadian itu bagi menghormati privasi serta kesedihan yang sedang dialami mereka.
"Kami tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis supaya tindakan tegas diambil terhadap mereka yang tidak berperikemanusiaan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail mengingatkan orang ramai supaya tidak ambil mudah mengenai keselamatan anak-anak terutama melibatkan motosikal.
Menurut beliau, penjagaan keselamatan adalah aspek paling mustahak kerana dengan sedikit kecuaian, ia boleh mengundang kecelakaan seperti yang menimpa Nur Zulaikha Khumaira.
"Sebagai contoh, di kampung-kampung masih ramai penunggang yang tidak memakai topi keledar dengan alasan hanya pergi ke kawasan berhampiran," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
-- BERNAMA
#Hospital #motosikal #nur zulaikha khumaira zulkifli #rawatan #tangan putus
;