Keputusan pegawai kanan SPRM untuk bersara awal adalah pilihan sendiri, tiada paksaan - Azam Baki
Hakim Rahman
Januari 3, 2017 16:41 MYT
Januari 3, 2017 16:41 MYT
Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Bahri Mohamad Zain, 58, telah mengemukakan permohonan untuk bersara awal sejak Mei tahun lalu.
Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ia adalah pilihan peribadi Bahri tanpa paksaan mana-mana pihak.
Menurut Azam, Bahri bagaimanapun memilih untuk menamatkan khidmatnya pada 3 Januari 2017 walaupun beliau dijadualkan bersara tiga tahun lagi.
'Kalau orang kata persaraan dipaksa sebagaimana dkatakan orang, tidak betul, tidak ada, dia (Datuk Bahri) bersara atas pilihan sendiri. Semasa sebelum bulan Jun lagi, dalam lebih kurang bulan Mei dia sudah mengemukakan persaraan dia," katanya kepada Astro AWANI.
Azam dalam masa sama menafikan laporan sebuah portal berita yang memetik kenyataan Datuk Bahri menyatakan bahawa beliau membuat keputusan itu kerana merasakan telah mengecewakan 30 juta rakyat Malaysia.
"Kami telah menghubungi beliau dan beliau menafikan ada memberikan kenyataan sebegitu kepada portal berita berkenaan."
Bahri telah berkhidmat dengan agensi pencegahan rasuah itu sejak lebih 30 tahun lalu.