Keputusan negara duduki kerusi wakil UNSC diketahui Khamis
Wan Syamsul Amly
Oktober 14, 2014 15:55 MYT
Oktober 14, 2014 15:55 MYT
Keputusan pengundian negara-negara yang dapat menduduki kerusi wakil tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bagi tempoh 2015-2016 akan diketahui dalam masa dua hari lagi.
Seandainya berjaya, ia membuktikan pengiktirafan dunia terhadap komitmen negara dalam usaha membantu negara-negara luar yang ditimpa bencana atau perkara seumpamanya.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, ia sejajar dengan usaha gigih Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang bertungkus-lumus mahu mencapai kedudukan itu.
"Kita yakin akan diundi untuk menduduki kerusi itu pada 16 Oktober ini.
"Kerja keras mereka yang terlibat dalam usaha ini, sehingga tidak pulang ke tanah air, dibantu semua pegawai Wisma Putra yang bertungkus-lumus untuk mencapai kejayaan," katanya.
Hamzah menjawab soalan tambahan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) berhubung status negara untuk melobi anggota majlis itu.
Soalan asal Raime adalah usaha Malaysia untuk menghantar nota bantahan kepada PBB terhadap Israel yang melancarkan serangan selama 50 hari ke atas Gaza.
Hamzah ketika menjawab soalan asal Raime memberitahu, kerajaan telah mendesak UNSC untuk mendesak Israel menghentikan serangan mereka terhadap Palestin.
"Kita sudah menghantar kenyataan pada 22 Julai dahulu dan menyatakan gesaan untuk menghentikan serangan dan kekejaman yang berlaku di Timur Tengah," ujarnya.
Tambahnya, kerajaan juga sebelum ini telah mengumumkan kesediaan untuk membuat sumbangan kewangan berjumlah USD100,000 (kira-kira RM310,000) kepada badan yang dipertangungjawab memberi perlindungan kepada pelarian-pelarian Palestin, Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA).
Dalam pada itu, Hamzah turut menafikan negara mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.
"Kita prihatin dengan situasi yang berlaku di Palestin. Malaysia juga sentiasa menitikberatkan prinsip-prinsip kemanusiaan dan prihatin dengan kesengsaraan rakyat Palestin.
"Kita juga bersetuju memberikan sumbangan kewangan tambahan secara terus kepada Palestin," jelasnya.
Sebelum ini, laporan menyebut 15 daripada 145 rakyat Palestin yang terkorban di Gaza ekoran keganasan dan serangan udara Israel adalah waris kepada Duta Besar baru Palestin ke Malaysia, Dr Anwar H Al Agha.
#Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim
#Datuk Hamzah Zainuddin
#Datuk Seri Anifah Aman
#pengundian
#Presiden Kelab 1Malaysia
#UNSC