Keputusan mewajibkan ujian COVID-19 bagi pelancong ke Langkawi langkah positif - Nancy

Abd Hadi Che Awang
September 15, 2021 04:44 MYT
Nancy menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Inisiatif Pembukaan Semula Sektor Pelancongan di Langkawi, di Langkawi International Convention Centre, malam tadi. --fotoBERNAMA
LANGKAWI: Keputusan mewajibkan setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi bermula hari ini (16 Sept) menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan merupakan satu langkah positif walaupun diumumkan agak lewat dan menimbulkan kekeliruan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata keputusan itu dibuat kerana kebimbangan kerajaan terhadap risiko peningkatan kes COVID-19 di pulau peranginan itu berikutan projek rintis gelembung pelancongan yang bermula hari ini.
"Sebelum ini saya menyatakan tidak ada 'swab test' (ujian saringan). Tiba-tiba hari ini (Rabu) Kementerian Kesihatan mengumumkan ada 'swab test'. Tetapi Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara bimbang apabila berlaku sesuatu, seperti (kemungkinan) banyak kes nanti.
"Ini adalah satu kerisauan yang positif yang kami di pihak MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) merasakan, oleh kerana ini satu niat yang baik, maka kami sambutlah dengan baik, kami sokong," katanya.
Nancy berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran pembukaan semula Langkawi sebagai destinasi rintis pelancongan domestik di sini malam tadi.
Pelancaran dilakukan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.
Nancy berkata, walaupun pengumuman itu dilihat agak lambat dan mengelirukan rakyat namun langkah itu demi memastikan kesihatan rakyat terjamin dan kejayaan gelembung pelancongan Langkawi.
Terdahulu semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi bermula hari ini diwajibkan menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan.
Katanya, ujian saringan mesti dilakukan oleh semua orang dewasa berumur 18 tahun ke atas dan kanak-kanak serta remaja berusia antara tujuh hingga 17 tahun.
Sementara itu, Nancy berkata, projek rintis gelembung pelancongan Langkawi akan menjadi kayu ukur bagi menentukan pembukaan semula lebih banyak destinasi pelancongan lain selepas ini.
"Kalau ini berjaya, maka insya-Allah projek gelembung pelancongan lain akan jadi mudah untuk kita. Semua sedang menunggu keputusan kita dari Langkawi ini. Destinasi lain sedang menunggu untuk dibuka," katanya.
#Nancy Shukri #gelembung pelancongan #pembukaan semula destinasi pelancongan #Langkawi #ujian saringan COVID-19
;