Keputusan Malaysia guna vaksin denggi diketahui sebelum Jun

Bernama
April 20, 2016 02:23 MYT
Agensi media antarabangsa melaporkan WHO telah meluluskan vaksin denggi pertama di dunia bagi memerangi penyakit bawaan nyamuk yang menjejaskan hampir separuh penduduk dunia. - Gambar fail
Keputusan sama ada Malaysia akan menggunakan vaksin denggi pertama di dunia, Dengvaxia yang dihasilkan syarikat farmaseutikal Perancis, Sanofi hanya akan diketahui sebelum Jun ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata keputusan itu akan dimuktamadkan selepas Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik yang ditubuhkan kementerian selesai mengkaji keberkesanan vaksin denggi berkenaan.
"Saya sudah minta pakar kita meneliti segala data sedia ada untuk mengesyorkan cara yang paling baik untuk vaksin tersebut digunakan, selepas itu baru kita akan buat keputusan.
"Memang kita semua mahu satu vaksin yang sesuai tetapi apa yang paling mustahak ketika ini adalah memastikan vaksin itu sebenarnya akan selesaikan masalah yang dihadapi oleh kita," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Makan Malam Majlis Perniagaan Malaysia-India (MIBC) di Kuala Lumpur Golf and Country Club di sini malam Selasa.
Jelasnya keputusan itu juga bergantung selepas kementerian meneliti segala jenis ubat yang sedia ada di negara ini dan dari luar negara serta mengambil kira cadangan yang dibuat komuniti teknikal Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Bagaimanapun, Dr Subramaniam berkata syarikat itu telah membuat permohonan untuk mendaftarkan vaksin berkenaan di bawah Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK).
Sebelum ini, kementerian memaklumkan hasil kajian saintifik terhadap vaksin denggi pertama dunia itu didapati hanya mampu memberi perlindungan dengan keberkesanan sebanyak 47 peratus kepada penghidap demam itu sehingga memerlukan kajian mendalam diteruskan.
Pada Isnin, agensi media antarabangsa melaporkan WHO telah meluluskan vaksin denggi pertama di dunia bagi memerangi penyakit bawaan nyamuk yang menjejaskan hampir separuh penduduk dunia.
Dengvaxia dibangunkan oleh Pasteur, cawangan vaksin Sanofi.
Ia telah menjalankan kajian ke atas penyakit tropika itu selama lebih 20 tahun dengan kos €1.5 bilion (kira-kira RM7 bilion). Ini termasuk kos pembuatan vaksin.
Setakat ini dilaporkan empat negara telah menerima vaksin itu iaitu Mexico, Brazil, El Salvador dan Filipina.
#denggi #Dengxavia #Filipina #Sanofi #subramaniam #vaksin