Keputusan Majlis Tertinggi UMNO jamin kestabilan kerajaan - Ahmad Faizal
Bernama
Oktober 27, 2020 19:47 MYT
Oktober 27, 2020 19:47 MYT
IPOH: Keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam untuk mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat memastikan kerajaan terus stabil bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kata Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Katanya, beliau yakin keputusan itu dibuat selepas memikirkan kepentingan negara.
"Apa juga keputusan MT semalam tentunya telah memikirkan negara kita perlu mempunyai kerajaan yang stabil, ada sokongan dan dukungan daripada semua supaya boleh ambil tindakan sebaik mungkin untuk kepentingan rakyat," katanya dalam sidang media di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, hari ini.
Selain terus menyokong kerajaan PN, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi satu kenyataan semalam berkata, parti itu juga menggesa prinsip kerjasama ditambah baik dengan berpaksikan nilai penghormatan dan konsensus politik.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO juga mahu kerajaan mengambil pendekatan yang lebih inklusif melangkaui perbezaan ideologi parti dalam menangani pandemik COVID-19 dan kesan negatif ekonomi yang dihadapi rakyat.
Dalam konteks Perak, Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Chenderiang berkata, hubungan antara Barisan Nasional (BN), Bersatu dan Pas dalam PN yang membentuk kerajaan negeri berada dalam keadaan baik.
Kerajaan negeri Perak yang ditadbir PN terdiri daripada 33 ADUN BN yang kesemuanya UMNO, Bersatu (5), Pas (3) sementara baki kerusi DUN dimiliki DAP (16), Amanah (5), PKR (3) serta Gerakan dan Bebas masing-masing satu.
Selain itu, Ahmad Faizal turut memuji tindakan kesemua 59 ADUN Perak yang meluluskan sebulat suara Rang Undang-Undang (RUU) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak (Bahagian Pertama) (Pindaan) 2020 serta usul menjunjung kasih dan menyembah taat setia terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
"Hari ini semua ADUN di Perak tidak kira daripada parti mana telah bersatu hati memberi sokongan terhadap usul taat setia dan RUU Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak, sebulat suara tiada yang membangkang, pembangkang pun sokong. Ini perkara baik," katanya.
Beliau berkata, tindakan semua ADUN itu bertepatan dengan titah Al-Sultan Abdullah pada 25 Oktober lalu yang menyeru rakyat, tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik, agar mengetepikan segala perbezaan serta perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati.
Mengenai langkah persidangan DUN meluluskan RUU menurunkan had umur layak menjadi calon ADUN daripada 21 tahun kepada 18 tahun, Ahmad Faizal berkata, Bersatu membuka ruang dan peluang kepada golongan muda yang layak untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
"Kriteria sebagai calon bukan jantina atau had umur tapi kebolehan untuk menang, diterima oleh orang ramai dan bila dipilih mampu menggalas tanggungjawab," katanya. - BERNAMA
#MT UMNO
#Perikatan Nasional
#kerajaan PN
#Bersatu
#konsensus politik
#Ahmad Faizal Azumu
#Presiden UMNO