Keputusan mahkamah Belanda hadiah istimewa buat rakyat Sabah sempena Hari Malaysia

Bernama
September 9, 2024 17:57 MYT
Arthur Joseph Kurup berkata pihaknya akan terus menyokong segala usaha kerajaan untuk memastikan keselamatan dan kepentingan rakyat Sabah dan Malaysia dilindungi setiap masa. -Gambar fail/Bernama
KOTA KINABALU: Penghakiman terakhir Mahkamah Agung Belanda yang menolak rayuan kumpulan Sulu berhubung isu Sabah, merupakan hadiah istimewa buat rakyat Sabah sempena sambutan Hari Malaysia dan Hari Sabah 2024.

Ringkasan AI
  • Mahkamah Agung Belanda menolak rayuan kumpulan Sulu berhubung isu Sabah, yang dianggap sebagai hadiah istimewa buat rakyat Sabah sempena Hari Malaysia dan Hari Sabah 2024.
  • Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup, menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan untuk melindungi keselamatan dan kepentingan rakyat Sabah dan Malaysia.
  • Jumaat lepas (6 Sept), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, mengumumkan kemenangan penting Malaysia di Mahkamah Agung Belanda, yang membatalkan tuntutan kumpulan Sulu terhadap Sabah.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata pihaknya, akan terus menyokong segala usaha kerajaan untuk memastikan keselamatan dan kepentingan rakyat Sabah dan Malaysia dilindungi setiap masa.
"Terima kasih kerana sentiasa mempertahankan kedaulatan Sabah dalam Malaysia. Kemenangan Malaysia di Makahmah Agung Belanda ke atas rayuan kumpulan Sulu adalah berita baik buat seluruh rakyat Sabah.
"Keputusan ini membuktikan bahawa Sabah berdaulat dalam Malaysia. Ia sekali gus menamatkan tuntutan kumpulan Sulu yang Sabah tidak pernah iktiraf sejak dari awal lagi," katanya yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata PBRS menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan atas komitmen dan usaha Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang begitu serius untuk memastikan segala tuntutan oleh pihak luar ke atas Sabah dapat dinoktahkan segera.
Jumaat lepas (6 Sept), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan bahawa, kerajaan telah memperoleh kemenangan penting terakhir di Mahkamah Agung Belanda, yang membuat keputusan memihak kepada Malaysia, dan menolak rayuan yang difailkan oleh pihak berkenaan.
Penghakiman yang memihak kepada Malaysia itu, secara berkesan membatalkan tuntutan yang dikemukakan kumpulan itu.
-- BERNAMA
#Mahkamah Agung Belanda #kumpulan Sulu #isu sabah #Arthur Joseph Kurup
;