Keputusan mahkamah arah MUDA didaftarkan berita baik buat demokrasi Malaysia - Pemuda Amanah
Astro Awani
Disember 14, 2021 18:28 MYT
Disember 14, 2021 18:28 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mendaftarkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam masa 14 hari merupakan berita baik untuk demokrasi Malaysia.
Dalam masa sama, Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda mendesak Menteri Dalam Negeri untuk tidak terus mencemari amalan demokrasi itu.
Menurut Hasbie, tindakan KDN sebelum ini yang menafikan hak untuk MUDA didaftarkan melanggar hak kebebasan berpersatuan yang merupakan hak fundamental yang dijamin oleh Perlembagaan.
“Pemuda Amanah cukup kesal dengan budaya 'buli' yang dilakukan oleh KDN terhadap mana-mana pihak yang dilihat mampu mengancam kedudukan parti pemerintah walaupun tindakan terbabit bertentangan dengan Perlembagaan,” jelas Hasbie dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Sehubungan itu, Pemuda Amanah, kata Hasbie, mengucapkan tahniah kepada MUDA di atas keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Selain memberi masa 14 hari untuk mendaftarkan MUDA, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga mengarahkan KDN membayar kos guaman sebanyak RM10,000.