Keputusan kes saman Anwar terhadap Khairy pada 29 Sept

Bernama
Ogos 14, 2017 16:23 MYT
Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy bagi memohon ganti rugi RM100 juta dengan mendakwa Khairy mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah. Gambar fail
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 29 Sept untuk keputusan kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Hakim Azizul Azmi Adnan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Khairy dan peguam R. Sivarasa, bertindak bagi pihak Anwar.
Mahkamah turut menetapkan tarikh sama untuk keputusan permohonan Khairy bagi meminda pernyataan pembelaannya dalam saman itu dengan memasukkan elemen bahawa kenyataannya merupakan suatu komen berpatutan.
Perbicaraan kes saman fitnah itu telah selesai selepas 12 saksi memberi keterangan bermula pada 19 Sept 2016. Bagaimanapun, Khairy selepas itu menfailkan permohonan untuk meminda pernyataan pembelaannya.
Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy bagi memohon ganti rugi RM100 juta dengan mendakwa Khairy yang ketika itu Naib Ketua Pemuda UMNO, mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah dan menyebarkan klip video bertajuk 'Anwar and kin no threat' disiarkan dalam laman web, termasuk Malaysiakini.com.
Anwar mendakwa klip video itu mengandungi sebahagian ucapan yang dikatakan berbaur fitnah diucapkan Khairy dalam satu ceramah di Lembah Pantai di sini pada atau sekitar 20 Feb 2008.
Khairy, dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 8 Okt 2010, berkata beliau bergantung kepada pembelaan berdasarkan justifikasi dan perlindungan bersyarat.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Khairy Jamaluddin #mahkamah
;