Keputusan kes bunuh ibu tunggal ditangguh susulan RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori

Abd Razak Mohd Ali
April 12, 2023 12:44 MYT
Mohd Nur Hussein didakwa membunuh Hamidah Abdul Rahman di sebuah rumah di Taman Dato Lew Yan Sip, antara jam 12.01 tengah malam hingga 5 pagi, 13 Mac 2017. - Gambar/ Astro AWANI
IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh di sini, menangguhkan keputusan kes bunuh seorang ibu tunggal, yang dijadualkan hari ini, kepada 16 Jun depan.
Pesuruhjaya Kehakiman Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet, membuat keputusan itu selepas menerima permohonan peguam tertuduh, Datuk Naran Singh.
Naran dalam permohonannya, memohon hukuman kes bunuh itu ditangguhkan sementara menunggu Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 digazetkan.
Permohonan itu juga tidak mendapat bantahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani.
Hari ini, mahkamah dijadualkan membuat keputusan kes bunuh yang melibatkan seorang ibu tunggal, tujuh tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh Mohd Nur Hussein Mohd Salleh, 40, didakwa membunuh Hamidah Abdul Rahman di sebuah rumah di Taman Dato Lew Yan Sip, antara jam 12.01 tengah malam hingga 5 pagi, 13 Mac 2017.
Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.
Pada 3 April Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dan ia kemudiannya diluluskan Dewan Negara pada Selasa.
#kes bunuh ibu tunggal #hukuman ditangguh #RUU Pemansuhan Hukuman Mati #Ipoh
;