Keputusan kerajaan tanggung kenaikan kos haji RM1,000, ringankan beban jemaah B40

Bernama
Mac 19, 2023 05:30 MYT
Usaha kerajaan itu bertepatan dengan kos haji yang semakin meningkat saban tahun. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan untuk menanggung kenaikan kos menunaikan ibadah haji sebanyak RM1,000 merupakan 'khabar gembira' kepada bakal jemaah haji golongan B40 untuk menjadi 'tetamu' Allah selain melancarkan urusan menunaikan rukun Islam kelima itu.
Rata-rata berpendapat usaha kerajaan itu bertepatan dengan kos haji yang semakin meningkat saban tahun.
Naib Presiden Haji dan Umrah MATTA Mohd Azri Abd Razak berkata, kerajaan mengambil langkah tepat dalam memastikan bakal jemaah haji daripada golongan B40 terus diberikan keutamaan dan bantuan untuk menunaikan ibadah itu.
"Menjadi tanggungjawab kerajaan membantu golongan tersebut dari segi kewangan supaya mereka dapat membuat persiapan dengan lancar dan teratur.
"Namun bagi golongan M40 dan T20, kerajaan juga perlu memikirkan kaedah terbaik dalam membantu mereka kerana bukan semua mampu dan memilih menunaikan haji secara swasta, ada juga dalam kalangan mereka masih memerlukan bantuan kerajaan," katanya kepada Bernama.
Pada Sabtu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan menanggung kenaikan kos menunaikan ibadah haji sebanyak RM1,000 bagi setiap jemaah haji golongan B40 pada tahun ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA Malaysia) Harun KC Ahmmu menyifatkan bantuan itu sebagai 'rezeki' dan berita gembira buat bakal 'tetamu Allah' di saat pelbagai kos bagi menunaikan haji dijangka terus meningkat.
"Kita sebagai rakyat amat berterima kasih dengan pengumuman ini," katanya.
Warga emas dari Terengganu, Sharifah Zaleha Syed Ibrahim, 70, berkata beliau bersyukur dengan pengumuman itu yang sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kewangannya jika menerima tawaran ke Tanah Suci tahun ini.
"Syukur lah kerajaan sudi tanggung tambahan kos lagi RM1,000 itu, kalau tidak terpaksa la makcik cari duit lagi RM1,000 kalau dapat surat tawaran," katanya yang telah menerima surat tawaran menunaikan haji pada 2020 namun terpaksa ditangguhkan akibat penularan COVID-19.
Mohamad Fazil Abdul Aziz, 58, dari Kepala Batas, Pulau Pinang yang bekerja sebagai pesawah berkata bantuan itu memberi kelegaan kepada golongan B40 termasuk dirinya walaupun jumlah tersebut mungkin dilihat kecil buat sesetengah pihak.
"Mungkin bagi orang lain jumlah RM1,000 itu biasa tapi bagi kami B40 ni...jumlah tu besar dan saya percaya ia sangat melegakan kepada sesiapa yang dapat ke Makkah tahun ini," katanya yang turut berharap dipilih sebagai jemaah haji musim ini.
Peniaga nasi lemak, Fatimah Kassim, 49, pula berkata bantuan itu membuktikan kerajaan terutamanya Perdana Menteri amat prihatin dengan nasib golongan B40 ketika kos menunaikan haji tahun ini dijangka meningkat.
"Kita tahu kos menunaikan haji semakin meningkat sekarang ni, jadi dengan bantuan itu sekurang-kurangnya jemaah boleh gunakan RM1,000 yang sepatutnya dibayar sendiri sebagai belanja mereka di sana," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan Tabung Haji menjangkakan kos bagi menunaikan haji tahun ini akan meningkat lebih RM2,000 kepada RM30,850 bagi seorang.
-- BERNAMA
#golongan B40 #kenaikan kos #Haji #B40
;