Keputusan kerajaan lanjutkan PKPB munasabah - Lee Lam Thye
Bernama
Mei 11, 2020 18:39 MYT
Mei 11, 2020 18:39 MYT
Keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun ini bukan disengajakan, kata Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata ia adalah keputusan yang munasabah, memandangkan kerajaan harus mempertimbangkan pandangan serta nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara serta rayuan beberapa pihak yang berpendapat dengan menamatkan PKPB pada ketika ini adalah terlalu awal dan tindakan tidak produktif.
"PKPB yang diperkenalkan pada 4 Mei dengan pembukaan 27 sektor ekonomi namun dikenakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat menandakan perang terhadap COVID-19 masih belum berakhir.
"Usaha kita setakat ini telah membuahkan hasil yang diinginkan. Kementerian Kesihatan layak menerima pujian kerana terus mengutamakan pengawasan dan memastikan keselamatan rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata usaha tersebut telah mendapat pengiktirafan dan pujian daripada pelbagai pihak seperti China dan pemerhati antarabangsa, malah telah menghasilkan video yang memperlihatkan kejayaan Malaysia.
Justeru, Lee mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap kecuaian dan tindakan ketidakpatuhan PKPB yang boleh membantutkan kejayaan setakat ini kerana ia penting berikutan banyak aktiviti ekonomi kini disambung semula.
"Disebabkan inilah pemberdayaan komuniti sangat penting bagi mengatasi penularan penyakit yang membawa maut ini. Perlu ada keseimbangan terhadap perlunya berwaspada terhadap virus itu dan pembukaan semula aktiviti ekonomi.
"Rakyat perlu mencari nafkah dan perniagaan perlu diteruskan tetapi ia bukan seperti sebelum ini. Ia tidak akan berlaku seperti dahulu. Terdapat normal baharu yang perlu diikuti untuk menyelamatkan nyawa.
"Oleh itu, ada keperluan penting untuk mematuhi SOP seperti yang diperkenalkan oleh kerajaan dan sektor ekonomi masing-masing," tambahnya.
Sementara itu, Lee turut memuji polis yang berusaha meningkatkan langkah penguatkuasaan terhadap pematuhan SOP dengan menggunakan dron bagi memastikan pematuhan SOP di kawasan umum. - BERNAMA
#COVID19
#keputusan munasabah
#normal baharu
#pemberdayaan komuniti
#perang COVID-19
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#prosedur operasi standard