Keputusan kekal kenaikan tambang teksi satu keputusan inklusif - Ibdilillah Ishak
Astro Awani
Mac 24, 2015 20:22 MYT
Mac 24, 2015 20:22 MYT
Exco Pemuda UMNO, Ibdilillah Ishak menyifatkan keputusan pengekalan pelaksanaan tambang baharu bagi pengangkutan teksi pada 1 April ini seperti yang diumumkan semalam sebagai satu keputusan yang amat inklusif.
Ibdilillah berkata demikian kerana kerajaan telah mengambil kira keluhan rakyat termasuk keresahan pemandu-pemandu teksi sendiri.
“Saya faham bahawa taraf hidup mereka (pemandu teksi) harus ditingkatkan. Misalnya, dalam soal kadar tambang teksi ini, ramai pemandu sudah tukar harga di meter mereka, dan jika tidak dinaikkan, akhirnya mereka yang harus bayar lebih.
“Kita perlu ingat, pemandu teksi ini perlu membayar sewa teksi mereka dan kos-kos lain. Maka, saya rasa kenaikan ini wajar dan sekali gus dapat menaikkan taraf hidup mereka.
Namun begitu, beliau kecewa dengan kepimpinan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sewaktu mengumumkan kenaikan tersebut.
"Saya berasa amat kecewa dengan kepimpinan SPAD sewaktu mengumumkan kenaikan tersebut. Saya berharap agar kepimpinan SPAD ditukar.
“Harus ada wajah baharu yang yang menerajui SPAD. Rakyat khususnya anak muda tidak mahu dihidangkan dengan alasan-alasan yang tidak masuk akal oleh kepimpinan SPAD,” jelas Ibdilillah.
Pandangan Ibdilillah itu walau bagaimanapun berbeza dengan kenyataan Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun sebelum ini.
Khairul Azwan berpegang dengan pendirian membantah kenaikan kadar teksi dan bas ekspres, dengan menegaskan bahawa alasan peningkatan kos penyelenggaraan dan sara hidup selain kenaikan terakhir pada 2009 adalah lemah.
Namun begitu, Khairul Azwan ketika dihubungi har ini menolak untuk mengulas lanjut.
“Tiada komen. Biar rakyat menilai. Pemuda dah buat pendirian tempoh hari,” katanya menerusi mesej pesanan ringkas kepada Astro AWANI.
Pada 20 Mac, SPAD mengumumkan penetapan kadar tambang baharu bagi perkhidmatan teksi akan berkuatkuasa serta merta manakala bagi bas ekspres pula, bermula pada 15 Mei nanti.
Bagaimanapun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri pada Isnin, pelaksanaan tambang baharu perkhidmatan bas ekspres dan rel ditunda manakala tambang baharu teksi tetap diteruskan 1 April.