Keputusan Jemaah Menteri mesti jelas disampai kepada rakyat - PM
Amirul Aiman
Mac 3, 2025 10:20 MYT
Mac 3, 2025 10:20 MYT
Keputusan kerajaan tidak boleh terhenti di peringkat atasan tanpa disebarkan ke peringkat akar umbi kerana hal itu boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan penjawat awam dan masyarakat, kata Perdana Menteri Anwar. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA : Setiap keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri perlu disampaikan dengan jelas kepada rakyat, terutama penjawat awam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, keputusan kerajaan tidak boleh terhenti di peringkat atasan tanpa disebarkan ke peringkat akar umbi kerana hal itu boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan penjawat awam dan masyarakat.
Sebagai contoh, kata beliau, kerajaan sedang menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam yang akan dibahaskan minggu ini dan perkara itu perlu diberi perhatian oleh semua penjawat awam.
“Saya minta Ketua Setiausaha Negara sampaikan (RUU ini) dan saya percaya sudah pun dimaklumkan kepada penjawat awam, tetapi kalau boleh dihebahkan lagi kerana di antara pandangan saya yang saya tegur minggu lalu dalam mesyuarat Kabinet ialah kadang-kadang keputusan ini tidak sampai ke bawah.
“Jadi, di bawah itu ada keresahan, keputusan kita dalam Jemaah Menteri itu patut disampaikan dan segala tindakan harus disampaikan bukan sahaja dalam mesyuarat pasca Kabinet, tetapi yang dipengerusikan oleh Menteri, Ketua Setiausaha (KSU) dan Ketua Jabatan, ia tidak hanya terikat dengan urusan jabatan mereka sahaja.
“Iltizam kecekapan perkhidmatan awam itu harus difaham kerana ia terkait dengan tiap tugas penilaian proses kerja, SOP (prosedur operasi standard) setiap penjawat awam,” katanya ketika berucap di Perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini, pada Isnin.
Hadir sama kedua-dua Timbalan Perdana Menteri; Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Terdahulu, beliau berkata RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada Selasa.
Menurutnya, apabila diluluskan kelak, RUU itu akan memberi lebih autonomi kepada Parlimen dalam melaksanakan tugasnya, sekali gus memastikan sistem demokrasi negara lebih matang dan bebas daripada pengaruh luar.