Keputusan ini yang ditunggu keluarga - Abang Muhammad Adib
Bernama
September 27, 2019 12:30 MYT
September 27, 2019 12:30 MYT
"Ini merupakan jawapan yang ditunggu family saya," kata Mohd Asraf Mohd Kassim, abang kepada Muhammad Adib, anggota bomba yang terkorban akibat kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya tahun lepas.
Mahkamah Koroner di sini hari ini memutuskan bahawa kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah, yang dilakukan oleh lebih dua orang individu yang tidak diketahui.
Keputusan itu diumumkan oleh Koroner Rofiah Mohamad.
"Memang puas hati la, ini yang family tunggu, keputusan yang seperti ini," katanya dalam nada yang tersekat-sekat.
Mohd Asraf, 31, ditemui pemberita di pintu pagar Kompleks Mahkamah Shah Alam.
Terdahulu, mahkamah memberitahu pengamal media tidak dibenarkan menemu bual keluarga dan peguam keluarga Muhammad Adib di dalam kawasan mahkamah.
Sementara itu, bekas tunang Muhammad Adib, Nurul Najihah Mohd Radzi meluahkan rasa syukur dengan keputusan inkues berkenaan.
"Alhamdulillah, saya bersyukur sangat dengan keputusan tadi," katanya yang menangis teresak-esak dan hanya mampu memberikan jawapan ringkas kepada soalan yang diajukan oleh pemberita.
Pada 27 Nov lepas, Muhammad Adib parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, dekat sini.
Bagaimanapun, selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara (IJN).
Sepanjang inkues itu dijalankan, 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil dan 137 bahan bukti dikemukakan dengan pelbagai hujahan dilontarkan oleh pihak terlibat sebelum prosiding berkenaan ditutup pada 24 Julai lepas.
Antara saksi pakar yang dipanggil ialah Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid dan Pakar Fizik dari Universiti Teknologi Mara, Dr Amir Radzi Ab Ghani.
Sementara itu, antara peguam mewakili keluarga Arwah Muhammad Adib, Kamarulzaman Abdul Wahab berkata keputusan Mahkamah Koroner hari ini perlu disusuli dengan tindakan lanjut oleh pihak polis dan peguam negara.
"Segala keterangan mahkamah, saksi dan pakar serta adanya deklarasi kematian membuktikan Arwah Muhammad Adib sememangnya dipukul oleh sekumpulan individu.
"Kami mewakili keluarga meminta pihak terlibat ditangkap dan didakwa di mahkamah sebagaimana yang disarankan," katanya kepada pemberita.
Seorang lagi peguam mewakili keluarga anggota bomba itu, Syazlin Mansor menzahirkan rasa puas hati terhadap keputusan yang memihak kepada keluarga Muhammad Adib.
"Ucapan terima kasih kepada Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid dan Pakar fizik dari UiTM Dr Amir Radzi Ab Ghani. Kedua-dua saksi pakar ini cukup memberikan keterangan kepada mahkamah dan secara 'pro bono'," katanya.
-- BERNAMA
#Kompleks Mahkamah Shah Alam
#koroner
#kuil sri maha mariamman
#Mohd Asraf Mohd Kassim
#Muhammad Adib
#Nurul Najihah
#Rofiah Mohamad