Keputusan guna vaksin denggi belum diputuskan - Hilmi
Bernama
Mei 17, 2016 19:02 MYT
Mei 17, 2016 19:02 MYT
Keputusan sama ada Malaysia akan menggunakan vaksin denggi pertama di dunia masih belum diputuskan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya.
Beliau berkata perkara itu masih di peringkat kajian.
"Syarikat pengeluar vaksin telahpun membuat permohonan untuk didaftarkan, namun kita masih di peringkat kajian.
"Saya rasa pertengahan tahun ini keputusan akan diumumkan. Ini kerana, denggi ada empat jenis dan vaksin yang hendak dikeluarkan tidak meliputi semua jenis denggi," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Hospital Tampin hari ini.
Turut hadir, Exco Pendidikan dan Kesihatan negeri Datuk Shamsulkahar Mohd Deli, Pengarah Kesihatan negeri Dr Abdul Rahim Abdullah dan Pengarah Hospital Tampin Dr Hatijah Mohd Tan.
Dalam perkembangan lain, Dr Hilmi berkata Negeri Sembilan sebagai hospital keempat dijadikan Hospital Kluster selepas Pahang, Melaka dan Sabah.
"Hospital Kluster menggabungkan hospital-hospital berhampiran bagi mengguna pakai kemudahan dan kepakaran secara bersama.
"Ini bertujuan untuk mengelak kesesakan di sesuatu hospital selain menjimatkan kos," katanya.
Hospital Kluster Negeri Sembilan melibatkan Hospital Tampin, Hospital Kuala Pilah dan Hospital Jempol.