Keputusan EU bakal naikkan harga minyak masak 400 peratus - Bastien

Astro Awani
Februari 1, 2018 10:22 MYT
BASTIEN: EU harus melihat fakta-fakta yang ada dengan lebih jelas selain menyatakan justifikasi yang digunakan mereka. - Gambar fail
Keputusan Negara Kesatuan Eropah (EU) mengecualikan minyak sawit daripada campuran biofuel dan tenaga boleh diperbaharui menjelang 2021 bakal memberi kesan kepada harga bahan itu pada masa hadapan.
Timbalan Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda UMNO, Bastien Onn menjelaskan, tindakan EU itu sekali gus menjadikan harga minyak masak semakin mahal kerana permintaan meningkat selain tiada penawaran di pasaran.
"Saya sangsi dengan niat EU ini. Sekiranya mereka mahu menggantikan minyak masak berasaskan kelapa sawit kepada komoditi lain seperti jagung, kanola, soya dan minyak bijian seperti bunga matahari, pasti ia akan mengakibatkan kesan penebangan hutan yang lebih besar.
"Selain daripada itu, baja dan racun yang digunakan oleh komoditi soya, jagung dan lain-lain adalah enam kali ganda lebih tinggi berbanding penanaman kelapa sawit.
"Sudah tentu ia memberi kesan kepada sumber air dan alam sekitar dunia. Bukan itu sahaja, bagi komoditi seperti jagung, penanamannya membimbangkan kerana menggunakan teknik pengubahan genetik (GMO) hanya bertujuan untuk memenuhi permintaan. Ini akan memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan sejagat," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
BACA: Tiada sekatan, tiada diskriminasi terhadap minyak sawit - kata Menteri Perancis
BACA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sokong boikot produk EU
Bastien mengulas keputusan Parlimen Eropah baru-baru ini yang meluluskan usul untuk memperkenalkan skim pensijilan tunggal untuk minyak sawit yang memasuki pasaran EU, selain dari menghapuskan penggunaan biodiesel berasaskan minyak sawit menjelang 2020.
Majoriti minyak sawit Malaysia yang dieskport ke EU digunakan untuk biodiesel.
Selepas India, EU merupakan pasaran eksport kedua terbesar Malaysia, mewakili 2,059,207 tan barangan minyak sawit pada 2016, menurut data Lembaga Minyak Sawit Malaysia. China pula berada di kedudukan ketiga.
Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Ferancis Florence Parly.
Di dalam pertemuan itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pertemuan itu turut menyentuh isu larangan import minyak sawit ke blok EU.
Tegas Bastien, EU harus melihat fakta-fakta yang ada dengan lebih jelas selain menyatakan justifikasi yang digunakan mereka.
"Bersandarkan fakta ini, EU harus menghentikan hipokrasi mereka. Jika dunia tanpa minyak sawit dan bergantung kepada komoditi soya, kita memerlukan tanah seluas tiga kali keluasan bumi Malaysia hanya untuk memastikan minyak masak berasaskan soya dapat menampung pengguna dunia.
"Tentunya hal ini akan menjadikan minyak masak semakin mahal kerana permintaan meningkat dan tiada penawaran. Mereka yang miskin tidak mungkin mampu untuk membeli minyak masak yang harganya telah meningkat 400 peratus.
"Kita meletakkan harapan yang tinggi terhadap janji oleh Florence Parly yang melakukan lawatan ke Malaysia baru-baru ini," jelasnya.
Dalam pada itu kata Bastien yang juga Ketua Pemuda UMNO Segamat, isu itu akan membelenggu para peneroka Felda dan pekebun-pekebun kecil seluruh negara jika ia tidak diselesaikan segera.
"EU telah memutuskan untuk tidak lagi memberi subsidi bio-diesel yang menyumbang kepada penebangan hutan pada sidang parlimen mereka akhir tahun lalu.
"Tentunya ini merupakan langkah pertama. Selepas ini, EU akan menghalakan serangan mereka kepada sub-produk kelapa sawit yang lain. Akhirnya pengeluaran minyak masak akan menjadi sasaran mereka kerana alasannya sama iaitu mengurangkan penebangan hutan.
"Komoditi seperti soya, jagung, kanola dan biji bunga matahari memerlukan tanah yang lebih besar untuk memenuhi keperluan minyak masak dunia," jelasnya.
Katanya lagi, sebanyak 90 juta hektar tanah diperlukan bagi memenuhi keperluan itu sekiranya dunia mahu menghentikan peladangan kelapa sawit dan minyak masak dunia digantikan dengan komoditi-komoditi yang dipelopori negara barat.
"Sehingga hari ini, dunia hanya menggunakan 18 juta hektar tanah sahaja untuk kelapa sawit bagi mengimbangi harga dan memenuhi keperluan minyak masak dunia.
"Kita mengambil contoh komoditi soya yang sudah menduduki 120 juta hektar permukaan bumi bagi penghasilan 23 peratus sahaja permintaan minyak masak dunia.
"Sedangkan kelapa sawit memenuhi 32 peratus dengan hanya menggunakan 18 juta hektar sekali gus jelas merupakan keluasan tanah yang jauh lebih kecil," ujarnya.
Katanya lagi, semua fakta itu boleh diperolehi melalui laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFAO) dan Jabatan Pertanian AS (USDA) sendiri.
"Saya juga ingin mengajak agar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini seperti Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Kumpulan Pertubuhan Bukan Kerajaan Alam Sekitar Malaysia (MeNGO) agar bukan sahaja turut serta memainkan peranan lebih penting melobi EU, malah menjadi penghubung dengan NGO alam sekitar antarabangsa.
"Ia akan memberi penerangan serta mempertahankan industri kelapa sawit yang ternyata bukan sahaja baik dari segi ekonomi tetapi juga industri yang berimpak rendah terhadap alam sekitar," jelasnya.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini tidak menolak kerajaan mengkaji semula keputusan membeli barangan daripada EU selepas kesatuan berkenaan bertindak mengecualikan minyak sawit daripada campuran biofuel dan tenaga boleh diperbaharui menjelang 2021.
Ahmad Zahid turut menjelaskan sekiranya EU benar-benar melaksanakan pengharaman itu, ia akan memberi kesan buruk kepada negara khususnya 650,000 pekebun kecil sawit tempatan.
#EU #MeNGO #minyak sawit #MNS #NGO #UNFAO
;