Keputusan Che'gu Bard kena perintah larangan pada Isnin
Sinar Harian
Mei 16, 2024 14:40 MYT
Mei 16, 2024 14:40 MYT
JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan Isnin depan bagi keputusan perintah larangan terhadap Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Che'gu Bard, 45, berkaitan isu kasino di Forest City, Iskandar Puteri.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Abu Bakar Katar selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan pada Khamis.
Ia selepas Mahkamah Sesyen pada 30 April lalu menolak permohonan pendakwaan yang memohon perintah larangan dikenakan terhadap Che'gu Bard berkaitan isu kasino di Forest City.
Prosiding semakan kehakiman itu dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh; Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Mohd Sabri Othman dan Abdul Malik Ayob serta Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal dan Mohd Syafiq Mohd Ghazali.
Manakala Che'gu Bard diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.
Sebelum itu, Kalmizah dalam hujahannya berkata, ketidakadilan serius terhasil apabila hakim Mahkamah Sesyen menolak perintah larangan berkenaan dan kesilapan itu perlu diperbetulkan.
"Kes ini membabitkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, justeru ia sebagai langkah waspada daripada responden mengeluarkan komen yang mengundang pelbagai reaksi rakyat di media sosial yang akhirnya akan mengundang kesalahan lain.
"Adalah tidak wajar Agong diheret dalam kancah kebencian dan sentimen berterusan hasil perdebatan di media sosial," katanya.
Bagaimanapun peguam Che'gu Bard, Muhammad Rafique berkata, perintah larangan berkenaan tidak wajar dibenarkan kerana artikel asal berhubung isu kasino di Forest City itu masih kekal dan tidak diturunkan dua agensi media antarabangsa.
"Pihak pendakwaan ada kuasa pada bila-bila masa untuk memulakan prosiding menghina mahkamah jika ada kesalahan dilakukan anak guam saya," katanya.
Hakim kemudian menetapkan keputusan sama ada mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen atau mengenepikannya sekali gus mengeluarkan perintah larangan, pada 20 Mei atau Isnin depan.
Pada 30 April lalu, Che'gu Bard dilaporkan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut berhubung projek kasino di Forest City menerusi media sosial.
Bagaimanapun, Che'gu Bard mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Rasidah Roslee. - Sinar Harian