Keputusan buka sempadan negara diharap tidak bebankan rakyat - Hasni

Astro Awani
Februari 10, 2022 13:48 MYT
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, menyokong hasrat kerajaan itu yang dibuat bukan berdasarkan politik semata-mata. - Foto Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Keputusan Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk membuka sempadan negara pada 1 Mac depan diharap tidak membebankan rakyat.
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, menyokong hasrat kerajaan itu yang dibuat bukan berdasarkan politik semata-mata.
Bagaimanapun, katanya ia tertakluk kepada persetujuan antara dua kerajaan Singapura dan Malaysia, selain turut mengambil kira situasi semasa COVID-19.
Menurut Hasni, perkara itu tidak akan menjadi masalah jika prosedurnya masih sama seperti yang digunakan menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL).
"Kita berurusan pasal sempadan khususnya di antara Singapura dan Malaysia, kita selalu bercakap pasal persetujuan bersama.
“Jadi apa pun keputusan dibuat ianya lebih cantik kalau adalah satu keputusan yg bersama melibatkan antara dua negara," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Common Ground Iskandar Space di Iskandar Puteri, Johor Bahru.
Hasni memberitahu persetujuan membuka sempadan antarabangsa khususnya melibatkan sempadan Malaysia-Singapura itu perlu dibuat secara bilateral, dan bukannya unilateral.
BACA: Buka sempadan negara bulan depan? Kabinet akan putuskan - Hishammuddin
BACA: Kerajaan mungkin tunggu sehingga Omicron reda sebelum buka sempadan sepenuhnya
Kelmarin, Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya bersetuju supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.
Bagaimanapun katanya, ujian COVID-19 sebelum berlepas dan sejurus tiba di pintu sempadan negara perlu dilakukan secara terancang mengikut syor Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan penilaian risiko semasa.
#Hasni Mohammad #Menteri Besar Johor #buka sempadan negara #Johor Bahru #Muhyiddin Yassin #COVID-19 #Majlis Pemulihan Negara