Keputusan bedah siasat Mohamad Thaqif Amin dalam masa dua minggu - Exco

Bernama
April 27, 2017 13:00 MYT
Mohamad Thaqif Amin dipotong kedua belah kaki hingga paras paha akibat dijangkiti kuman meninggal dunia petang semalam di Hospital Sultan Ismail di sini. - Gambar fail
KEPUTUSAN bedah siasat kematian Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi mungkin akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi, kata Pengerusi Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri, Datuk Ayub Rahmat.
Beliau berkata ini berikutan pihak hospital perlu meneliti terlebih dahulu bentuk masalah dan kesan fizikal yang ada pada tubuh jenazah.
"Akan ambil masa sikit, mungkin dalam masa dua minggu. Itupun,bergantung kepada kesediaan pihak hospital, polis dan sebagainya untuk mempercepatkan proses.
"Seperti yang disebut semalam, sebelum proses bedah siasat dilakukan, pihak doktor telahpun menemuramah ibu bapanya, menanya apakah siasatan polis dan merujuk kepada doktor yang menjaganya tentang apakah rekod-rekod kesihatan yang ada," katanya kepada pemberita.
Beliau merasmikan Program Promosi Kesihatan Pergigian dan Pelancaran Carta Flip Bahasa Isyarat Kesihatan Pergigian bagi golongan berkeperluan khas (pendengaran) peringkat negeri di sini hari ini.
Ayub berkata laporan itu turut akan mengambil kira pandangan ibu bapa serta kondisi jenazah pelajar tahfiz berusia 11 tahun ini..
"Apabila sudah dibuat pengkiraan, barulah tindakan diambil bagi mencari kebenaran apakah sebab munasabah di sebalik perkara ini," katanya.
Mohamad Thaqif Amin yang dipotong kedua belah kaki hingga paras paha akibat dijangkiti kuman meninggal dunia petang semalam di Hospital Sultan Ismail di sini.
Dia dilapor mengalami masalah kesihatan susulan dipukul warden asrama sekolah tahfiz persendirian tempatnya belajar.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Aping Timur tengah malam tadi.
-- BERNAMA
#Ayub Rahmat #EXCO Johor #Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi #pelajar tahfiz
;