Keputusan akhir mural Amelia Earhart: Lembaga Muzium Perak jadi pakar rujukan

Aida Aziz
Ogos 15, 2022 08:00 MYT
Mural Amelia Earhart di Jalan Abdul Jalil, Taiping yang dihasilkan pada 2019 lalu. - Foto Astro AWANI
IPOH: Kerajaan negeri meminta Lembaga Muzium Negeri Perak bertindak sebagai pakar rujukan sebelum keputusan akhir dibuat berhubung isu mural juruterbang Amerika Syarikat, Amelia Earhart, di Taiping.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, ia merupakan jalan terakhir memandangkan wujud perbezaan pendapat mengenai fakta berkaitan.
"Kita telah meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk semak fakta dan buat semakan dengan persatuan sejarah di Taiping yang memulakan inisiatif mural itu.
"Ada percanggahan pendapat di situ. Ada dua pendapat berhubung fakta tentang juruterbang itu mendarat atau tidak.
"Jadi, untuk buat keputusan mesti ada pakar rujukan. Saya arahkan Lembaga Muzium jadi pakar rujukan supaya kita dapat buat tindakan sepatutnya. Perkara ini masih dalam siasatan," katanya.
Nolee Ashilin berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan isu mural yang dikatakan wujud percanggahan fakta sebenar.
Beliau ditemui pada majlis penutup Program Reskill dan Upskill Kursus Asas dan Lanjutan Jurupandu@Geoguide Geopark Lembah Kinta, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Pengarah Cawangan Penyelarasan Operasi Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Nizarul Ikram Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.
Sebelum ini, Nolee Ashilin berkata, pihaknya telah meminta Majlis Perbandaran Taiping (MPT) membuat semakan semula berhubung isu lukisan mural tersebut.
Ia didakwa tidak sesuai dijadikan sebagai antara ikon pelancongan daerah itu kerana antara lain, wujud perdebatan di media sosial dalam kalangan ahli sejarah mengenai perkara itu.
Ada pendapat mengatakan Amelia, dinobat wanita pertama melakukan penerbangan solo merentas Lautan Atlantik, tidak melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Tekah, di Taiping, pada 7 Jun 1937, untuk mengisi bahan api.
Dalam pada itu, ditanya langkah yang akan diambil jika keputusan itu nanti membuktikan juruterbang itu tidak pernah mendarat di Taiping, beliau berkata sudah tentu pihaknya akan membetulkannya.
"Kalau tidak padam sekali pun (mural), mungkin kita akan buat 'disclaimer' atau ralat sebab sejarah mesti betul kan.
"Kita ada beberapa pilihan iaitu padam atau sebaliknya, dengan meletakkan 'disclaimer' dengan fakta yang membetulkan perkara itu.
"Mungkin kita boleh tulis, '(mendarat di Taiping) ada dalam perancangan penerbangan (Amelia), tetapi dia tak mendarat'," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan MPT sudah menyerahkan maklumat lengkap kepada Exco Perak berhubung mural juruterbang wanita itu pada dinding sebuah premis di Jalan Abdul Jalil, Taiping.
Yang Dipertua MPT Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, pihaknya peka berhubung perdebatan orang ramai tentang mural yang dihasilkan pada tahun 2019 itu.
#mural Amelia Earhart #Taiping #Lembaga Muzium Negeri Perak #Nolee Ashilin Mohammed Radzi
;