Keputeraan Sultan Selangor: Wan Ahmad Dahlan, Faisal Halim antara penerima darjah, bintang kebesaran
Khalis Khadir
Disember 11, 2024 14:00 MYT
Disember 11, 2024 14:00 MYT
KLANG: Seramai 94 penerima darjah dan bintang kebesaran serta pingat-pingat negeri sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-79 pada Rabu.
Mendahului senarai ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz yang dikurnia darjah Paduka Mahkota Selangor (SPMS) dengan gelaran Datuk Seri.
Turut menerima darjah sama dalam Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor di Istana Alam Shah hari ini ialah Pengerusi Eksekutif The Edge Communications Sdn Bhd, Tan Sri Tong Kooi Ong.
Bagi darjah Dato’ Setia - Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) dengan gelaran Datuk pula dikurniakan kepada Anggota Lembaga Pengampunan Selangor, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman.
Sultan Sharafuddin turut berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran – Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) kepada 11 penerima.
Antaranya ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia, Sharrina Abdullah; Duta Besar Malaysia Ke Maghribi, Shahabudeen Adam Shah dan Hakim Mahkamah Keluarga Kuala Lumpur, Evrol Mariette Peters.
Darjah berkenaan membawa gelaran Datuk bagi penerima lelaki dan Datin Paduka bagi penerima wanita.
Anugerah Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) yang membawa gelaran sama dikurniakan kepada Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muhammad Farhan Wijaya.
Antara lain ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr.Sirajuddin Suhaimee dan Setiausaha Dewan di-Raja Selangor, Hanafisah Jais.
Berikutnya ialah Ahli Jawatankuasa Fatwa dan Khutbah Selangor, Dr Muhammad Ayman al-Akiti; Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Zakat Selangor, Badariah Abd Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Nur-ul Afida Kamaludin selain sembilan ahli korporat.
Sempena Hari Keputeraan itu juga, Sultan Sharafuddin turut berkenan menganugerahkan Ahli Kegemilangan Sukan Selangor kepada pemain boling negara, Natasha Mohamed Roslan.
Turut berlangsung adalah penganugerahan Setia Mahkota Selangor dan Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada masing-masing 11 individu serta Ahli Mahkota Selangor kepada 16 individu lain.
Pemain sensasi Selangor FC, Faisal Halim adalah antara 17 penerima Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah selain dua individu menerima Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor dan tujuh individu untuk Bintang Perkhidmatan Cemerlang
Terdahulu, keberangkatan tiba Sultan Sharafuddin ke Balairung Seri Istana Alam Shah diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.