Kepulangan terakhir abang bomba
Astro Awani
Disember 27, 2018 21:21 MYT
Disember 27, 2018 21:21 MYT
Seorang bapa tidak menyangka kepulangan anaknya bercuti di kampung empat hari lalu merupakan yang terakhir sebelum menerima berita kematian anggota bomba itu.
Ismail Ahmad, 63, menerima perkhabaran sedih tentang anak kesayangannya itu pada Rabu.
Muhammad Asyraf, 21, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Bidor, Perak ditemui meninggal dunia oleh rakan serumahnya jam 6.30 pagi semalam.
Hasil bedah siasat mendapati arwah meninggal dunia ketika tidur.
"Anak sewa bersama dua lagi anggota bomba. Tetapi pada hari kematian seorang balik bercuti. Hanya arwah dan seorang senior yang dia panggil cikgu.
"Sebelum tidur dia minta seniornya tolong gerak waktu Subuh. Waktu itu, rakan serumahnya dapati wajah anak telah kebiruan dan tidak sedarkan diri," katanya sepertimana dilaporkan Sinar Harian.
Menurutnya, sebelum kejadian, arwah pulang kembali ke Perak pada 25 Disember lalu.
"Hari sama saya, isteri dan kakaknya pergi ke Puchong Selangor untuk ziarah anak seorang lagi menaiki kereta, manakala arwah balik ke Perak dengan motosikal.
"Kami keluar jam lapan pagi, saya sempat tanya arwah nak balik jam berapa, dia kata pukul 10 pagi," katanya ketika ditemui di kediamannya Kampung Surau, hari ini.
Menurutnya, isterinya juga ada menghantar pesanan mesej kepada arwah untuk pastikan anak ke lapan daripada sembilan beradik itu telah sampai ke rumah sewanya di pekan Bidor, Perak.
"Keesokan paginya jam lapan saya dapat panggilan anak telah meninggal dunia. Memang terkejut tetapi kami sekeluarga reda," katanya.
Ismail berkata, arwah mula menceburi bidang bomba pada awal tahun ini.
"Dia pohon untuk jadi bomba sama ada hujung tahun lepas atau awal tahun ini. Tetapi bulan Mac anak dipanggil sesi temu duga dan dia layak.
"Saya juga tak sangka anak boleh dapat sebab badannya agak besar. Tetapi arwah dapat lepasi ujian terutamanya ujian bertali," katanya.
Katanya, arwah turut bersemangat untuk sertai anggota bomba apabila mempelajari teknik dan asas menyelamat daripada Youtube.
Jenazah arwah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Surau, malam tadi.
Turut hadir menziarahi keluarga mangsa, Adun Bayu, Abd Nasir Idris.