Kepulangan Rizalman ke New Zealand ditangguh?
Astro Awani
Julai 6, 2014 10:23 MYT
Julai 6, 2014 10:23 MYT
Kepulangan Diplomat Malaysia ke New Zealand, Pegawai Waran II Muhammad Rizalman Ismail untuk berdepan tuduhan serangan seksual dan rompakan dikatakan berkemungkinan ditangguh.
Menurut sumber The New Zealand Herald di Hospital Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur, situasi Rizalman kini kelihatan murung dan banyak menyisihkan diri.
Sumber itu turut menyatakan, sejak Rizalman dimasukkan ke wad sejak Selasa, individu 38 tahun itu dilihat tidak cukup sihat untuk diterbangkan semula ke Wellington.
Seorang doktor kanan di hospital itu mengesahkan diplomat berusia 38 tahun itu mungkin memerlukan penilaian psikiatri lanjut, kata akhbar itu pada edisi Ahad, Herald on Sunday.
Akhbar itu berkata, keputusan sama ada Rizalman sihat atau tidak untuk dibicarakan bergantung kepada kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, Menteri Luar New Zealand Murray McCully juga tidak dapat memberi jaminan diplomat itu akan kembali.
Sementara itu, Herald berkata butiran baru mengenai tuduhan kesalahan itu kini mula terdedah.
Katanya, pada 9 Mei, Rizalman didakwa mengekori seorang wanita berusia 21 tahun dari perhentian bas ke rumahnya di Brooklyn, sebelum memecah masuk dan menanggalkan pakaiannya. Wanita itu melawannya dan jiran kemudian datang membantunya.
Rizalman yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak dikatakan meninggalkan rumah mangsa tetapi menunggu di luar sehingga polis tiba, lapor Herald.
McCully juga enggan memberi ulasan selain berkata kes itu kini dibawa ke mahkamah.
Rizalman sebelum ini ditahan oleh polis New Zealand dan dibawa ke mahkamah bagaimanapun diberi kebenaran oleh Wellington untuk kembali ke tanah air dengan keluarganya pada 22 Mei setelah memohon kekebalan diplomatik.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman sebelum ini menyatakan bahawa kes ini akan disiasat di Malaysia tetapi kerajaan sedia mengekstradisi suspek ke New Zealand jika perlu.
Wellington turut melahirkan rasa puas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan Malaysia berhubung siasatan.
Menurut surat yang dihantar kerajaan Malaysia kepada Kementerian Hal Ehwal Luar New Zealand, Suruhanjaya Tinggi Malaysia juga meminta kerjasama Kementerian Hal Ehwal Luar dan Perdagangan New Zealand dan polis New Zealand untuk mempertimbangkan menutup semua dokumentasi mengandungi perkara di atas dan menarik balik semua tuduhan terhadap Rizalman.
Sebagai balasan, kerajaan berkata ia akan memastikan Rizalman tidak akan kembali ke New Zealand pada masa depan.
Bagaimanapun Wellington turut mengakui pegawainya tidak jelas berhubung perkara mereka mahu Malaysia mengetepikan kekebalan diplomatik kepada Rizalman.
McCully turut berang dengan kesilapan yang dilakukan pegawainya berhubung insiden itu, yang disifatkan memalukannya dan Perdana Menteri John Key.