Kepulangan Amirul rahmat bagi keluarga - bapa

Bernama
Jun 21, 2015 21:08 MYT
Zabarudin Zakaria menyifatkan kepulangan anaknya Amirul Azim sebagai rahmat kepada keluarganya susulan insiden Orkim Harmony. - Foto BERNAMA
"Inilah rahmat bagi keluarga saya yang mana semua doa kawan-kawan dan keluarga untuk dia (Amirul) dan kru kapal yang lain selamat...bersyukur sangat kepada Allah SWT," luah Zabarudin Zakaria, bapa kepada Amirul Azim, anak kapal MT Orkim Harmony.
Zabarudin, 49, berkata dia tidak dapat berkata-kata sebaliknya terus memeluk Amirul, 21, sebaik dapat bertemu dengan anak sulungnya itu di Kuantan kira-kira 6 petang semalam.
"Masa jumpa, dia ada juga cerita sedikit tentang kejadian itu tapi saya dah pesan pada isteri yang turut bersama agar jangan bertanya terlalu banyak soalan kepadanya kerana tak nak dia tertekan.
"Perjumpaan pertama itu hanya kami bertanya khabar dan berbuka bersama sebelum kami balik ke Melaka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Katanya Amirul kelihatan sedikit trauma dengan peristiwa yang dialaminya itu.
Zabarudin berkata dia bersama isteri dan dua lagi anggota keluarga bergegas ke Kuantan dan tiba pada 11 pagi semalam tetapi hanya dapat berjumpa dengan anaknya itu kira-kira 6 petang.
Beliau berkata Amirul, 21, yang berkhidmat sebagai anak kapal di bahagian penyelenggaraan kini masih berada di Kuantan bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.
"Kami sekeluarga sentiasa menanti kepulangannya namun sekiranya dia hendak teruskan tugas ini, kami tidak akan memaksa kerana dia masih bertugas," katanya.
Katanya dia percaya Amirul tidak akan terkesan dengan kejadian tersebut kerana dia merupakan seorang yang kuat semangat dan komited terhadap kerjaya yang telah diceburinya kira-kira tiga tahun lepas.
Zabarudin turut melahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan dan juga semua agensi terlibat dalam misi mencari dan menyelamat Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 22 anak kapal.
Kapal tersebut membawa 6,000 tan metrik petrol RON95 bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada 8.57 malam, 11 Jun lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.
MT Orkim Harmony selamat tiba di Pelabuhan Kuantan pada 7.30 pagi semalam.
#Amirul Azim #MT Orkim Harmony #Zabarudin Zakaria
;