Keprihatinan Agong pembakar semangat pertahan kedaulatan negara - Panglima ATM

Bernama
Januari 8, 2024 06:20 MYT
Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat pada Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI di Dataran Panglima Tentera Darat Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Keprihatinan dan kemesraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selama lima tahun sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa membakar semangat warga tentera menjalankan amanah demi mempertahankan kedaulatan negara.
Panglima ATM Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata keperibadian tinggi Seri Paduka Baginda menjadi pendorong seluruh ATM berusaha memacu kecemerlangan angkatan tentera demi nusa dan bangsa.
"Sesungguhnya, ia membawa seribu kenangan untuk patik-patik warga ATM. Ketahuilah bahawa, kemesraan dan kecaknaan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku selama lima tahun sebagai pemerintah tertinggi ATM sentiasa menjadi pembakar semangat untuk patik-patik sekalian melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan demi mempertahankan kedaulatan negara dan memacu kecemerlangan ATM," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Santapan Ringan sempena Istiadat Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, di Wisma Perwira Tentera Darat, di sini semalam.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Mohammad berkata seluruh warga ATM berikrar akan sentiasa menumpahkan sepenuh taat setia kepada raja dan negara.
"Patik juga turut merafakkan doa ke hadrat Allah SWT agar melimpahkan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Tuanku berdua serta putera-putera, puteri-puteri dan seluruh kerabat diraja dengan taufik dan hidayah, dipanjangkan umur, serta terus memperoleh keafiatan dengan penuh kedaulatan dan kebesarannya," katanya.
Terdahulu, Seri Paduka berdua berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih.
Istiadat perbarisan berkenaan yang diadakan bersempena dengan tamat pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan ini berlangsung di Kem Perdana, Sungai Besi di sini.
Al-Sultan Abdullah memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Jan 2019 selepas menggantikan Sultan Muhammad V iaitu Yang di-Pertuan Agong ke-15.
Kali terakhir istiadat sama diadakan adalah pada 2016 semasa Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah menamatkan tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.
Istiadat itu melibatkan 40 pegawai dan 888 anggota lain-lain pangkat daripada ketiga-tiga ketumbukan ATM iaitu tentera darat, laut dan udara.
-- BERNAMA
#Angkatan Tentera Malaysia #Yang di-Pertuan Agong #Istiadat Perbarisan #Mohammad Ab Rahman
;