'Kepimpinan Wasatiyyah' tajuk tepat ketika dunia diancam ekstremis agama

Bernama
November 13, 2016 20:47 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif GMMF Datuk Nasharudin Mat Isa, penerima PhD daripada UUM, memilih tajuk tersebut untuk tesis beliau. - Gambar fail
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) Datuk Nasharudin Mat Isa, penerima ijazah doktor falsafah PhD daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) semalam, memilih tajuk tepat, 'Kepimpinan Wasatiyyah' dalam menyediakan tesisnya.
Menyatakan demikian, Dekan Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden UUM, Prof Madya Dr Yahya Don berkata, tajuk itu dipilihnya ketika dunia kini diancam ekstremis agama.
Tajuk itu juga sangat sesuai dengan tugas dan jawatan Nasharudin di GMMF, iaitu bagaimana melihat pengaruh wasatiyyah itu di kalangan pempimpin muda dalam mempertahankan negara.
"Hasil kajian Datuk (Nasharudin) ini kita melihat pemimpin yang ada nilai wasatiyyah ini cenderung dalam mempertahankan negara.
"Jika tidak ada idea menanganinya ia akan melenyapkan cita-cita negara untuk melahirkan pemimpin terbaik," tegas Yahya kepada Bernama di sini hari ini.
"Pemimpin yang ada itu perlu membina satu konsep baharu untuk memahami dengan sebenar-benarnya konsep wasatiyyah dalam aspek pembinaan negara," kata Yahya, Penyelia Nasharudin dalam menghabiskan pengajian PhDnya.
Beliau berkata hasil kajian Nasharudin itu sebagai panduan kepada pemimpin muda agar tidak terbabit ancaman ektremis yang boleh dikaitkan dengan militan kerana ia tidak menguntungkan negara pada masa hadapan.
Yahya berharap idea-idea dilontarkan Nasharudin itu akan terus diperjuangkan generasi pemimpin muda untuk membawa negara ke era yang lebih cemerlang dan menjadi pemimpin hebat kepada bangsa, agama dan negara.
Menyentuh penyiapan Nasharudin untuk PhDnya, Yahya berkata, "Datuk sentiasa berhubung dengan saya jika ada sebarang masalah.
"Maklumat yang diperolehi beliau untuk menyiapkan tesisnya adalah sangat baik dan ini merupakan satu kesungguhan yang saya amat kagumi".
"Jelas sekali, Nasharudin mempunyai semangat yang tinggi dalam menghabiskan pengajiannya di UUM sejak awal 2014," kata Yahya.
Yahya berkata bekas timbalan presiden PAS itu sanggup menghabiskan masanya berhari-hari di universiti bagi mempersiapkan segala tugas pengajiannya.
"Datuk seorang yang ada idea mantap dan tenang. Mempunyai pengetahuan yang tinggi dan mudah dibimbing.
"Kelebihan Datuk kerana beliau boleh memahami bahasa Arab yang buku rujukannya banyak diperolehi dari negara Timur Tengah dan ini sangat membantunya menghabiskan pengajian," katanya.
Semalam Nasharudin tampil sebagai salah seorang daripada 208 penerima PhD (ijazah Doktor Falsafah) yang disampaikan Canselor UUM, Tan Sri Tunku Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Majlis Konvokesyen Ke-29 universiti berkenaan.
Seramai 6,737 graduan menerima ijazah masing-masing yang terdiri daripada 1,512 graduan pasca siswazah manakala bakinya adalah graduan Sarjana Muda.
Nasharudin tidak dapat dihubungi untuk komen dan dimaklumkan dalam perjalanan ke United Kingdom untuk tugas rasmi.
Beliau pernah menjadi Anggota Parlimen Yan pada 1999 dan Anggota Parlimen Bachok pada 2008 dan menjadi timbalan presiden PAS pada 2009 hingga 2011.
-- BERNAMA
#GMMF #Nasharudin Mat Isa #treses #UUM #Wasatiyyah
;