Kepimpinan UMNO digesa sokong segala inisiatif tangani pandemik COVID-19

Fareez Azman
Jun 8, 2021 18:28 MYT
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyeru seluruh kepimpinan UMNO berganding bahu mempergiatkan usaha tangani pandemik COVID-19. - Foto ASTRO AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Seluruh kepimpinan UMNO diseru agar berganding bahu mempergiatkan usaha di peringkat masing-masing untuk menyokong segala inisiatif menangani pandemik COVID-19 ketika ini.
Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, ia selaras dengan perjuangan parti itu yang sudah lama membawa naratif membantu rakyat dalam apa sahaja situasi.
Malah ketika pandemik ini, rakyat ujarnya sedang memerhati dan menilai tindakan yang dilakukan oleh UMNO.
"Saya menyeru semua pihak di dalam kepimpinan UMNO d isemua peringkat untuk berganding bahu menangani pandemik COVID-19 ini dalam pelbagai cara yang difikirkan sesuai, kerana situasi di negara kita hari ini kita perlukan solidariti.
"Kita tidak boleh membiarkan hanya pihak Kerajaan atau Kementerian Kesihatan semata-mata melakukan segalanya," jelasnya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Jelasnya inisiatif termasuk mewujudkan pasukan Sukarelawan UMNO Untuk COVID-19, Unit Bergerak Vaksinasi di setiap kawasan Parlimen yang diwakili UMNO, Unit Kenderaan Khas bagi membawa orang ramai ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV), insentif kewangan, pengurusan pengkebumian jenazah pesakit COVID-19 dan bantuan keperluan peralatan atau makanan di pusat kuarantin.
“Ada banyak yang boleh kita sumbangkan sebenarnya berkaitan usaha menangani COVID-19 ini. UMNO sebenarnya sudah lama membawa naratif membantu rakyat dalam apa sahaja situasi, dan itulah yang perlu kita lakukan sekarang.
"Kita bukan bekerja membantu rakyat dan negara mengikut musim. Kita ada di mana-mana dan bila-bila masa sahaja bersama rakyat dan negara, itulah UMNO sebenarnya," katanya lagi.
Malah situasi kritikal yang dihadapi rakyat dan negara ketika ini ujarnya, perlu diambil peluang oleh kepimpinan UMNO dalam mendekati rakyat serta menawarkan bantuan.
Kepimpinan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO katanya perlu lebih agresif menggerakkan jentera mereka turun padang membantu rakyat atau pihak berkuasa.
"Kepada kepimpinan UMNO, Menteri Besar dan Ketua Menteri yang menggalas tanggungjawab di peringkat negeri diucapkan tahniah dan syabas atas segala inisiatif untuk melandaikan kes jangkitan COVID-19 di negeri masing masing.
"Manakala Pengerusi-Pengerusi Perhubungan UMNO di negeri-negeri juga kita rakamkan ucapan terima kasih walaupun bukan sebagai Menteri Besar, tetapi juga telah berusaha untuk membantu menjayakan usaha-usaha menangani COVID-19," katanya lagi.
Di peringkat pucuk pimpinan UMNO pula kata Mahdzir akan memberikan sokongan penuh terhadap segala usaha dan inisiatif yang digerakkan.
Malah matlamat parti kataya adalah untuk membantu usaha menangani pandemik COVID-19 dapat dilaksanakan.
"Bagi saya ini masanya kita berganding bahu dengan semua petugas di peringkat Parlimen untuk berjuang melawan COVID-19.
"Ingin saya tegaskan juga buat masa ini biarlah tumpuan kita kepada melawan COVID-19 terlebih dahulu. Kita ketepikan dahulu soal politik kepartian atau kepimpinan kerajaan. Bagi saya, ini bukan masanya lagi.
"Biarlah kita sama-sama berjuang melawan COVID-19 ini terlebih dahulu. Nyawa kita dan nyawa semua rakyat Malaysia adalah lebih utama buat masa sekarang ini," ujar beliau lagi.
#Mahdzir Khalid #UMNO #Puteri UMNO #SYABAS #Ketua Menteri #Parlimen #Kementerian Kesihatan #pemuda #rakyat Malaysia #COVID-19 #pandemik #vaksin #Pusat Pemberian Vaksin #PPV #jangkitan
;