Kepimpinan Muhyiddin bantu rakyat berhadapan cabaran COVID-19
Siti Nur Aqilla Omar
Februari 27, 2021 12:35 MYT
Februari 27, 2021 12:35 MYT
JOHOR BAHRU: Kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diakui teruji di saat seluruh dunia termasuk negara berhadapan pendemik COVID-19.
Namun, pelbagai inisiatif yang diperkenalkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu untuk membantu rakyat ternyata dapat dirasai, melalui bantuan menyeluruh kepada setiap lapisan dan golongan masyarakat.
Malah Muhyiddin disifatkan sebagai individu yang sentiasa menunjukkan kesungguhan untuk melindungi rakyat daripada pandemik COVID-19.
Termasuk menjadi individu pertama yang menerima suntikan vaksin bagi meyakinkan rakyat.
“Saya lihat beliau lebih pentingkan rakyat daripada dirinya sendiri dan berusaha lakukan segalanya untuk memastikan rakyat sihat.
“Beliau sanggup menjadi orang pertama disuntik bagi menunjukkan ia tidak bahaya dan ini membuatkan kita tidak takut untuk disuntik,” jelas seorang pengurus syarikat, Sanipah Mohamad.
Pekerja kilang, Shukri Yaacob pula berpendapat, Muhyiddin seorang yang berjiwa rakyat.
“Jelas sekali terdapat peningkatan dari segi kepimpinannya dan manfaat dirasai semua lapisan masyarat daripada golongan bawah kepada golongan pertengahan. Tidak kira pemandu bas juga terima manfaat daripada kepimpinannya,” katanya kepada Astro AWANI.
Bagi pemandu van sekolah, Roshiah Daud pun segala bantuan yang diberikan sangat membantu terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terpaksa dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
“Saya selesa dengan pentadbiran di bawah Perdana Menteri ke-8 ini kerana beliau sering membantu rakyat dan dilakukan secara menyeluruh dan adil.
“Seperti hari ini kami dibantu lakukan sanitasi ke atas van sekolah, ini sangat meringankan beban kami,” katanya.
Antara bantuan yang diumumkan Muhyiddin bagi membantu rakyat ketika pandemik COVID-19 ialah 40 inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan 22 inisiatif di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).
Selain memudahkan pengeluaran i-Sinar dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
#COVID-19
#Muhyiddin Yassin
#Perikatan Nasional
#rakyat
#bantuan
#vaksin
#PKP
#PENJANA
#PERMAI
#i-sinar
#KWSP