Kepimpinan Menteri Kesihatan baharu perlu efektif - Pakar Kesihatan Awam
Eton Khir
Ogos 21, 2021 14:13 MYT
Ogos 21, 2021 14:13 MYT
Hala tuju institusi kesihatan negara ini perlu dibangunkan secara strategik pada kadar segera dengan pelantikan Menteri Kesihatan baharu yang mempunyai kepimpinan efektif.
Pakar Kesihatan Awam, Profesor Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berpendapat, dalam menangani penularan pandemik COVID-19 melihat kepada peningkatan bilangan kes baharu dalam negara kebelakangan ini, stabiliti dalam sistem kesihatan negara perlu diberi perhatian utama.
“Kita juga mengharapkan agar tidak berlaku intenvensi politik terutamanya apabila tindakan yang dilakukan oleh pihak profesional terutamanya pakar kesihatan awam dengan kaedah-kaedah mereka untuk mengawal COVID-19 ini,” katanya dalam temu bual Buletin AWANI Khas yang disiarkan di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, ada beberapa tindakan yang dilakukan oleh pemimpin kabinet terdahulu yang dipercayai memberi beberapa impak besar kepada sistem kesihatan negara.
Tugas utama yang harus dipikul oleh Menteri Kesihatan baharu itu adalah untuk memperbaiki sistem kesihatan dan mengawal penularan pandemik COVID-19 ... terutamanya dari sudut pemberian vaksinasi, katanya.
Antaranya, kata Dr Syed Mohamed Aljunid, dengan tidak lagi menggunakan pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) sebagai pusat utama ketika negara melalui fasa endemik kelak.
"Maka, kita harus menggembeling (tenaga) untuk memperbaiki sistem kesihatan yang sedia ada. Jadi, saya sangat berharap kita mampu untuk melibatkan klinik dan hospital swasta untuk terlibat dalam pemberiana vaksin.
"Selain itu, sektor kesihatan awam seharusnya memberikan tumpuan kepada pendidikan kesihatan kepada masyarakat bagaimana melakukan ujian kendiri. Mungkin ada baiknya rakyat diberikan subsidi untuk ujian-ujian COVID-19 kendiri seperti yang sedang dilakukan di beberapa negara maju, namun ini mempunyai implikasi kewangan yang amat tinggi,” katanya.
Kerajaan juga harus lebih prihatin dalam memberikan bantuan kepada rakyat yang memerlukan agar dapat dapat menjalani rutin harian seperti biasa, tambahnya.
Sebelum ini, Dr Syed Mohamed dalam satu temu bual bersama Buletin AWANI pada, berkata tempoh untuk negara ini memasuki fasa endemik COVID-19 antaranya bergantung kepada populasi penduduk yang sudah divaksinasi.
Beliau turut menjelaskan, penunjuk lain yang perlu diperhalusi ialah jumlah masyarakat yang dijangkiti pandemik berkenaan.
#COVID-19
#Profesor Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid
#Menteri Kesihatan
#kadar vaksinasi
#Klinik swasta
#hospital swasta