Kepimpinan beretika jadi tunggak integriti tertinggi - Dr Mazlin
Harits Asyraf Hasnan
September 3, 2015 22:13 MYT
September 3, 2015 22:13 MYT
Elemen kepimpinan beretika perlu menjadi tonggak integriti tertinggi sama ada dalam parti politik, syarikat, jabatan Kerajaan mahupun Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Penerapan elemen itu yang digandingkan bersama integriti akan memberi impak positif kepada amalan urus tadbir jika ia dilaksanakan di semua lapisan peringkat organisasi.
Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Professor Datuk Dr Mazlin Mokhtar berkata kepimpinan pada masa kini tidak harus berada di tampuk lama, sebaliknya perlu sentiasa berusaha meningkatkan prestasi bagi mencapai sasaran negara maju.
"Di Malaysia ini kalau kita lihat apa-apa indeks seperti Indeks Integriti, Indeks Ekonomi, Indeks Kejayaan Menjaga Alam Sekitar pun tidak teruk sangat.
"Tetapi cabarannya adalah untuk menjadi lebih baik dan lebih baik sebab (Malaysia) beraspirasi untuk menjadi negara maju. Jika kita mahu menjadi negara maju, kita tidak boleh ditahap lama. Perlu (sentiasa) lebih baik," katanya dalam temubual bersama Astro AWANI selepas menjadi panel dalam Majlis Sembang Pagi dengan tema Integriti dan Alam Sekitar: Kepentingan Integriti dalam Memelihara dan Memulihara Alam Sekitar, di Institut Integriti Malaysia (IIM), di sini hari ini.
Dr Mazlin turut berpandangan, setiap anggota masyarakat perlu sanggup memainkan peranan dan tanggungjawab sebagai pemimpin.
Menyentuh soal pelaksanaan dasar, Dr Mazlin berkata dasar tidak harus hanya tinggal dasar.
Beliau berharap sesuatu dasar itu harus mempunyai pendekatan holistik walaupun ia dilaksanakan dalam skala yang kecil.
"Kementerian sudah ada, polisi sudah ada. Tapi bila hendak bekerja bersama, kadang-kala menjadi masalah.
"Itu yang sama-sama yang kita kena cari (penyeleaian). Bila ada masalah, wujud pula peluang.....dan salah satu peluang adalah melakukan penyelidikan untuk mencari cara yang kreatif dan inovatif mengatasi masalah kecil, sederhana dan besar," jelasnya.
Turut serta dalam forum itu adalah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Alam Sekitar, Dr Zulkifli Abdul Rahman, Presiden Ecoknight, Yasmin Rasyid dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Dr Anis Yusal Yusoff selaku pemudah cara.
Sementara itu, Anis berkata kajian menunjukkan purata skala integriti rakyat Malaysia pada ketika ini adalah tujuh daripada 10.
Ujar Anis, walaupun skala itu berada pada tahap memuaskan, setiap lapisan masyarakat perlu sentiasa berusaha untuk meningkatkan skala tersebut.
"Tapi itu kajian, saya pasti benda ini tidak boleh dinilai secara purata sahaja. Ini kerana ada sesetengah tempat, ada individu yang 10 tahap integriti dia, tapi (sesetengah orang) ada yang dua mata.
"Sebaik mana pun kita rasa kita sudah capai, pada saya kita harus bersikap untuk menjadi lebih baik.
"Jika kita bandingkan Malaysia, tahap integriti kita dengan negara-negara seperti Somalia dan Zimbabwe, kita rasa kita sudah bangga, pada hakikatnya kita patut bandingkan negara kita dengan negara-negara maju," ujar Anis.
Mengulas Program 'Sembang Pagi' yang diadakan setiap bulan, Anis berkata hasil cadangan akan di kemukakan kepada kabinet serta kementerian dan agensi berkaitan.
Selain memperincikan isu yang dibincangkan, pihaknya juga akan mengadakan kajian menyeluruh serta menyediakan kertas dasar sebagai rujukan pihak berkaitan.
Ini bagi membolehkan penambahbaikan dilakukan, jika perlu sama ada dari segi undang-undang, mahupun pemantauan.