Keperluan operasi pembenihan awan bergantung permohonan kerajaan negeri
Bernama
Mei 11, 2023 17:15 MYT
Mei 11, 2023 17:15 MYT
MACHANG: Keperluan operasi pembenihan awan bergantung kepada permohonan yang dilakukan oleh kerajaan negeri, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata apabila perkara itu dibangkitkan oleh kerajaan negeri, pihaknya akan terus membantu mengikut mekanisme yang ditentukan.
"Untuk proses pembenihan awam, ia dilakukan bila ada keperluan sebagai contoh di Pulang Pinang.
"Kalau ada keperluan, kita akan aturkan kerana ia ada mekanisme tertentu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program 'Townhall' MADANI bersama Mahasiswa dan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang di sini hari ini.
Pada 2 Mei lepas, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjalankan Operasi Pembenihan Awan di kawasan tadahan Empangan Teluk Bahang serta Empangan Teluk Air Itam di Pulau Pinang yang turut melibatkan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara dan kerajaan Pulau Pinang.
-- BERNAMA
#pembenihan awan
#Kementerian Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim
#kerajaan negeri
#Nik Nazmi Nik Ahmad