Keperluan media bipartisan peroleh kad media JaPen perlu diteliti semula

Astro Awani
Disember 20, 2023 21:34 MYT
Nie Ching berpandangan EKM 1989 sememangnya perlu diteliti semula memandangkan pembentukannya sudah hampir 34 tahun - Foto/Facebook Teo Nie Ching
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi menegaskan keperluan media bipartisan untuk memperoleh kad media Jabatan Penerangan (JaPen) perlu diteliti semula.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata ini kerana ia menjurus kepada elemen berpihak, sedangkan prinsip media adalah adil dan tidak berpihak.
Jelas beliau, keperluan itu antara beberapa cadangan penambahbaikan yang telah diteliti dalam Sesi Libat Urus Penggubalan Etika Kewartawanan Malaysia (EKM 2024) dan Prosedur Tetap Operasi (PTO) Kad Perakuan Media JaPen, yang dipengerusikan beliau pada Selasa.
"Dalam sesi libat urus ini, beberapa cadangan penambahbaikan terhadap EKM 2024 telah diteliti bersama dengan pelbagai wakil agensi Kementerian Komunikasi serta ahli-ahli akademik daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)," katanya di laman Facebook pada Rabu.
Mengulas lanjut, Nie Ching berpandangan EKM 1989 sememangnya perlu diteliti semula memandangkan pembentukannya sudah hampir 34 tahun, selain ia sesuai dengan perubahan zaman teknologi dan digital kini.
“Ia juga selari dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk menghapuskan penularan berita palsu dan salah lapor bagi menjamin kualiti penyampaian berita,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau yakin pembentukan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia (MMM) yang dibentang pada sidang pertama Parlimen 2024, dapat memastikan kualiti pelaporan media yang lebih bertanggungjawab.
Pelancaran Etika Kewartawanan Malaysia 2024 dijangka pada Januari tahun depan.
#Kebebasan Media #Teo Nie Ching #Jabatan Penerangan #kad media #media bipartisan
;