Keperluan isi kad pengembara dimansuh mulai 1 Ogos - Khairy
Syafik Shukri Jalil
Julai 30, 2022 14:13 MYT
Julai 30, 2022 14:13 MYT
KUALA LUMPUR: Pengembara yang memasuki Malaysia tidak lagi perlu mengisi dan melengkapkan ciri-ciri (feature) Kad Pengembara (Traveller’s Card) dalam aplikasi MySejahtera mulai 1 Ogos depan.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, kelonggaran itu diputuskan berikutan keadaan sistem kesihatan kini berada pada tahap yang baik dan terkawal, serta bertujuan memudahkan prosedur kemasukan pengembara ke Malaysia.
Menerusi satu kenyataan pada Sabtu, Khairy berkata, KKM akan sentiasa mempergiatkan aktiviti pemantauan gejala dalam kalangan pengembara di semua pintu masuk antarabangsa (PMA) Malaysia.
"Semasa ketibaan di PMA, sekiranya pengembara dikesan demam melalui pengimbas suhu (thermal scanner) ataupun didapati tidak sihat melalui rujukan kendiri oleh pengembara, mereka akan dirujuk untuk pemeriksaan semula oleh pihak kesihatan.
"Selepas penilaian kesihatan dibuat dan sekiranya disyaki menghidap penyakit berjangkit seperti COVID-19, cacar monyet, MERS-CoV atau lain-lain, mereka akan dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,’’ katanya.
Justeru, beliau menggesa kepada semua pengembara yang baru tiba dari luar negara untuk mengamalkan pemantauan status kesihatan kendiri.
Selain itu, mereka juga dinasihatkan untuk terus mematuhi SOP ditetapkan dan pergi ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan sekiranya didapati tidak sihat