Kepercayaan, keyakinan rakyat faktor kejayaan PICK - Khairy

Eton Khir
November 3, 2021 20:28 MYT
Khairy berkata sehingga kini, kira-kira 25 juta penduduk di Malaysia sudah divaksinasi menandakan kejayaan program berkenaan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kepercayaan dan keyakinan pelbagai pihak kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) membolehkan negara mencapai tahap vaksinasi penduduk yang tinggi ketika ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata sehingga kini, kira-kira 25 juta penduduk di Malaysia sudah divaksinasi menandakan kejayaan program berkenaan.
Katanya, tanpa kepercayaan dan keyakinan rakyat itu, PICK yang dimulakan sejak Februari lalu tidak akan mencapai kejayaan.
"Kita laksanakannya ketika kerajaan, bukan saja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia berdepan dengan defisit keyakinan. Boleh dikatakan, seluruh dunia tidak percaya kepada kerajaan dan pengurusan pandemik.
"Jadi, saya kata pada diri saya sendiri, kita perlu membina keyakinan dengan akauntabiliti peribadi. Contohnya, seperti waktu laman sesawang (pendaftaran vaksinasi sukarela) AstraZeneca berdepan masalah, saya menggalas tanggungjawab dengan meminta maaf.
"Saya akui kesilapan tersebut dan berfikir... dengan mengambil tanggungjawab dan akauntabiliti peribadi, walaupun (jika ada) orang tidak percaya, sekurang-kurangnya anda tidak lari daripada masalah," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perkongsian Strategik PICK yang turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba di sini, hari ini.
BACA: COVID-19: 95.6 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi
PICK | 95.7 peratus populasi dewasa lengkap vaksin
Ujarnya lagi, sejak dari awal PICK, beliau yang ketika itu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, bersama Dr Adham, yang sebelum ini menjawat jawatan Menteri Kesihatan, mengetepikan soal politik bagi memastikan program berkenaan berjalan lancar mengikut perancangan.
#COVID-19 #PICK #Khairy Jamaluddin #faktor kejayaan
;