Kepengerusian ASEAN: Malaysia tekankan penderitaan pelarian Rohingya - Mohamad Hasan

Hasimi Muhamad
November 19, 2024 11:30 MYT
Mohamad berkata Malaysia juga komited untuk memastikan isu berkenaan mendapat perhatian sewajarnya di peringkat ASEAN- Foto fail/ BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia kekal komited meneruskan usaha mencari jalan penyelesaian damai di Myanmar dan akan memanfaatkan Kepengerusian ASEAN pada tahun depan.
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, sebagai salah sebuah negara jiran yang menerima jumlah pelarian Myanmar, khususnya etnik Rohingya tertinggi di Asia Tenggara, Malaysia akan menekankan penderitaan golongan itu dan mendukung tindak balas serantau yang lebih pragmatik.
Jelas beliau dalam kenyataan bertulis di laman web Parlimen, Malaysia juga komited untuk memastikan isu berkenaan mendapat perhatian sewajarnya di peringkat ASEAN.
"Selaku Pengerusi ASEAN pada 2025, adalah menjadi tanggungjawab Malaysia menerajui usaha ASEAN dalam menangani krisis di Myanmar.
"Usaha ini akan diteruskan berdasarkan Kemuafakatan Lima Perkara, yang telah dipersetujui oleh para pemimpin ASEAN pada April 2021," katanya dalam jawapan tersebut.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang minta menyatakan tindakan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam merungkai krisis kemanusiaan di Myanmar yang kian meruncing.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata Malaysia akan mengadakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar dalam memudah cara usaha membuka laluan ke meja rundingan untuk dialog politik terangkum ke arah mencapai penyelesaian damai dan berkekalan.
Malaysia, tambah beliau akan terus aktif dalam menekankan dan mengutamakan penyampaian bantuan kemanusiaan kepada semua rakyat Myanmar yang memerlukan, tanpa diskriminasi.
"Pada masa yang sama, Malaysia akan menyelaras usaha melalui mekanisme Troika yang terdiri dari Pengerusi ASEAN terdahulu, semasa dan akan datang (Laos, Malaysia dan Filipina) dan juga dengan negara-negara anggota ASEAN yang lain.
"Selain itu, Malaysia akan turut menyelaras sokongan dan kerjasama negara-negara jiran Myanmar serta masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam usaha memastikan pelaksanaan 5PC yang bermakna dan menyeluruh," ujar beliau.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, setakat sehingga 31 Ogos lalu International Organization for Migration (IOM) telah menempatkan semula seramai 4,774 pelarian ke negara ketiga.
Daripada jumlah tersebut, sejumlah 3,384 atau 70.9 peratus merupakan pelarian Myanmar yang ditempatkan semula di Amerika Syarikat, Australia, Kanada, New Zealand, Perancis, Jepun, Korea, Great Britain, Norway serta Filipina.
Kata Mohamad, Malaysia akan terus menggesa agar masyarakat antarabangsa berkongsi beban dan tanggungjawab dalam menempatkan pelarian dari Malaysia ke Negara Ketiga.
#Mohamad Hasan #pelarian Myanmar #Kepengerusian ASEAN #Malaysia
;