Kepengerusian ASEAN: KPKT jadi tuan rumah forum, mesyuarat berkaitan bandar, hartanah

Bernama
Oktober 28, 2024 22:49 MYT
Nga (tiga, kiri) ketika merasmikan Sambutan HPBS Tahun 2024 Peringkat Kebangsaan di Putrajaya, hari ini. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diberikan tanggungjawab untuk mempengerusikan mesyuarat dan menjadi tuan rumah kepada empat persidangan sempena kepengerusian ASEAN 2025, antaranya Sidang Kemuncak Hartanah ASEAN 2025 pada 2-4 Julai tahun depan.
Menteri berkaitan Nga Kor Ming berkata bakal turut diadakan Forum Pembandaran Lestari ASEAN (ASUF) pada 4-5 Ogos, Forum Datuk Bandar ASEAN (AMF) dan Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC) (5-7 Ogos) dan Mesyuarakat Tahunan Rangkaian Bandar Pintar ASEAN Kelapan pada 25-28 Ogos.
Nga berkata KPKT juga berhasrat untuk menganjurkan Persidangan Mengenai Perumahan dan Pembangunan Bandar Urban Asia-Pasifik pada 14-15 April bagi menunjukkan komitmen Malaysia dalam menerajui perbincangan dalam kalangan negara Asia Pasifik.
"Ini merupakan antara usaha melobi bagi mendapatkan sokongan negara-negara Asia Pasifik ke atas pencalonan Malaysia sebagai Presiden Perhimpunan dan Ahli Lembaga Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) pada penggal 2026-2029," katanya dalam majlis sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2024 peringkat kebangsaan, di sini hari ini.
Dalam majlis itu turut dilancarkan Platform Bandar Pintar Negara di bawah pusat data raya dan analitik perancangan negara Malaysia Urban Observatory (MUO).
Platform itu menggabungkan data bandar pintar dengan maklumat analitik data raya bagi membolehkan penyelesaian isu-isu perbandaran dibuat berdasarkan bukti.
Nga turut menyampaikan anugerah Malaysia Urban Planning Awards (MUPA) 2024 kepada 21 penerima Anugerah Bandar Mampan, 20 penerima Anugerah Penarafan Bandar Pintar dan 10 penerima Anugerah Amalan Perancangan Terbaik.
HPBS 2024 bertemakan "Sedaya Upaya Membina Bandar Mampan dan Pintar #DemiPertiwi" mencerminkan komitmen kerajaan dalam mencapai agenda Pembangunan Mampan dan memenuhi matlamat pembangunan mampan (SDG) menjelang 2030.
Selain itu, beliau berkata sempena HPBS 2024, Persidangan Perancangan Kebangsaan (NPC) 2024 akan diadakan esok dan dijangka dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Bertemakan "Urbanism Next 3R+: Reimagine, Reinvent, Revitalise, Reconnect", NPC 2024 akan turut disertai ahli-ahli Megacity Think Tank Alliance (MeTTA) serta menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan yang terlibat secara langsung dalam perancangan dan pembangunan bandar dan desa.
-- BERNAMA
#KPKT #pusat data #ASEAN #MeTTA
;