Kepelbagaian adat tuntut kebijaksanaan tangani isu berbangkit - Mujahid
Wan Syamsul Amly
September 10, 2018 20:42 MYT
September 10, 2018 20:42 MYT
Kepelbagaian adat dan budaya menuntut kepada kebijaksanaan dalam menangani isu berbangkit dengan mengambil kira semua lapisan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof berkata, ia sekali gus usaha mendepani cabaran dalam mencorak hala tuju masa depan negara memerlukan persiapan yang rapi dan penuh
berstrategi.
Jelasnya, ia penting bagi mengelakkan salah faham yang berpotensi merencatkan usaha-usaha perpaduan umat seterusnya membangunkan kehidupan yang sejahtera dan harmoni.
"Sebagai agama yang bersifat rahmat kepada sekalian alam (Rahmatan Lil ‘Alamin), kepelbagaian bangsa dan agama masyarakat Malaysia harus diraikan dengan sebaik mungkin.
"Baginda Nabi SAW sendiri telah memberikan contoh unggul bagaimana Islam memandu hidup dalam kepelbagaian anutan agama menerusi sikap berlapang dada dan keterbukaan yang menatijahkan sifat-sifat keinsanan dan saling bertoleransi antara satu sama lain.
"Keharmonian, keamanan dan kemewahan yang dikecapi oleh seluruh rakyat terlalu mahal harganya untuk dipertaruhkan. Maka nikmat perpaduan yang dikecapi hari ini mesti dipertahankan berasaskan prinsip-prinsip Islam yang luhur," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2018M di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Majlis disempurnakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Tema Penganjuran Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan kali ini adalah 'Menyantuni Umat Membawa Rahmat'.
Dalam pada itu jelas Mujahid, agenda reformasi berterusan termasuk dalam aspek pembangunan Islam perlu diberi perhatian dalam memacu kelangsungan pengurusan agama yang lebih dinamik, kompeten dan berdaya saing.
Dalam hal ini tegasnya, persepsi terhadap Islam sebagai agama yang zalim, rigid dan tidak bertimbang rasa mesti diperbetulkan.
"Malah selari dengan keperluan masa kini, kerangka fiqh harus dilihat dalam skop yang lebih luas lagi universal, yang berasaskan kepada realiti budaya setempat tanpa menggadaikan prinsip prinsip asas Islam.
"Selayaknyalah risalah Islam yang membawa panji panji kedamaian dan keadilan serta menolak fanatik perkauman mesti terus disebarluaskan kepada masyarakat keseluruhannya," katanya.
Pada majlis sama, Presiden Kolej Dar al-Hikmah, Datuk Dr Siddiq Fadzil dinobat penerima Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan.
Dr Siddiq menerima hadiah wang tunai berjumlah RM100,000.00, sumbangan daripada Yayasan Ubaidi berjumlah RM20,000, pingat serta sijil penghargaan.