Kepala pesakit COVID-19 berusia empat tahun tersangkut di celah besi katil
Bernama
Disember 6, 2020 19:07 MYT
Disember 6, 2020 19:07 MYT
KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang juga pesakit COVID-19 tersangkut kepala di celah besi katil di wad Hospital Tumpat dekat sini malam tadi ketika bermain di katilnya.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I Marzuki Awang berkata dalam kejadian pada 10.25 malam itu, kanak-kanak tersebut berjaya diselamatkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan daripada hospital pada 10.27 malam.
"Anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk memotong besi katil dan berjaya menyelamatkan mangsa.
"Kepala kanak-kanak itu berjaya 'dilepaskan' dan mangsa selamat daripada sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Marzuki berkata usaha menyelamat yang dilakukan lapan anggota bomba telah dipantau oleh pegawai perubatan dan jururawat hospital susulan keperluan mematuhi prosedur operasi standard bagi membendung penularan COVID-19.
-- BERNAMA
#pesakit
#Kanak-kanak
#COVID-19
#kepala
#tersangkut
#katil
#Hospital
#Hospital Tumpat
#bomba
#Marzuki Awang