'Kepala' lori berasap, lebuh raya PLUS sesak lebih lapan kilometer
Abd Razak Mohd Ali
Januari 22, 2020 16:30 MYT
Januari 22, 2020 16:30 MYT
Sebuah lori kontena yang membawa sisa plastik terbakar di Kilometer 249.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara hari ini, menyebabkan kesesakan lebih lapan kilometer.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ismail berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 12.48 tengah hari.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kebakaran berlaku semasa kontena berkenaan dipandu dari arah selatan menghala ke utara.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, tiba-tiba pemandu menyedari bahagian 'kepala' lori mengeluarkan asap dan terus berhenti di lorong kiri untuk menyelamatkan diri,” katanya di sini.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, setibanya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, didapati 90 peratus kepala lori musnah terbakar.
“Anggota bertindak menggunakan satu aliran salur bantu mula sebagai medium pemadaman dan dibantu jentera dari BBP Meru,” ujarnya.
Operasi tamat jam 2.09 petang.
#bomba
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#JBPM
#kebakaran
#kemalangan
#Kuala Kangsar
#Malaysia
#operasi
#polis