Kepala lelaki dalam plastik hitam di Bukit Mertajam
Bernama
November 24, 2014 21:49 MYT
November 24, 2014 21:49 MYT
Kepala seorang lelaki ditemui dalam satu bungkusan plastik hitam di hadapan sebuah kedai makan di Taman Impian Ria di sini, kira-kira pukul 4.30 petang ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata kepala itu ditemui oleh pemilik kedai makan di Lorong Impian Ria 5 sebelum memaklumkan kepada polis.
Katanya hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) diperolehi dari premis berkenaan pihaknya mendapati bungkusan itu ditinggalkan oleh dua lelaki yang menunggang motosikal kira-kira pukul 9.30 malam semalam (Ahad).
"Berdasarkan rakaman itu, seorang dari dua lelaki itu turun dari motosikal dan meninggalkan bungkusan plastik berkenaan berhampiran kedai sebelum beredar.
"Polis akan terus meneliti rakaman diperolehi selain mendapatkan lebih banyak rakaman CCTV dipasang di premis berhampiran.
"Setakat ini pihaknya belum dapat mengenalpasti identiti mangsa," katanya kepada pemberita di tempat kejadian, malam ini.
Mazlan berkata polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain dan telinga kiri dan kanannya dipotong sebelum kepala itu dibuang di situ.
Katanya berdasarkan kesan darah yang masih baru pihaknya percaya mayat lelaki itu dibunuh dalam tempoh 24 jam.
"Kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, polis minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata Unit Anjing Pengesan K-9 turut dipanggil bagi melakukan pemeriksaan bagi mengesan badan mangsa jika ia turut dibuang sekitar lokasi kejadian.
Kepala itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat, katanya.
Sementara itu, pemilik restoran yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 40, berkata beliau sedang menyapu sampah bila ternampak bungkusan mencurigakan yang pada mulanya disangkakan mengandungi bom.
Katanya dalam keadaan cemas beliau meminta rakannya membuka plastik berkenaan perlahan-lahan, dan mendapati kepala manusia yang masih berdarah.