Kepala kambing tersangkut pada stereng kereta kerana elak disengat tebuan
Wafa Aula
Februari 23, 2018 15:28 MYT
Februari 23, 2018 15:28 MYT
Seekor kambing betina bertindak meluru masuk ke dalam sebuah kereta dipercayai untuk mengelak daripada disengat tebuan di Kampung Gentam petang semalam.
Bukan sahaja masuk, malah kepala kambing itu turut tersepit di stereng sebuah kereta jenis Proton Saga milik seorang wanita berusia 45 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Kc My Sha.
Ketika kejadian, wanita tersebut sedang membuka pintu sebelum terkejut apabila seekor kambing meluru masuk ke dalam kereta berkenaan.
“Saya rasa kambing ini mengelak disengat tebuan dan masuk ke dalam kereta saya. Terdapat sedikit kerosakan kecil pada kereta namun ia sedang diperbaiki,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Jumaat.
Menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang lucu, wanita berkenaan bagaimanapun bersyukur apabila kambing itu berjaya dikeluarkan oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) petang semalam.
Operasi mengeluarkan kambing tersebut daripada stereng kenderaan mengambil masa kira-kira tiga minit.
Sementara itu, APM Kuala Pilah dalam satu status di laman sosial Facebook memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan dari orang awam berkaitan kes itu pda pukul 3.44 petang.
#angkatan pertahanan awam
#kambing
#Kampung Gentam
#operasi
#operasi menyelamat
#Proton Saga
#tersangkut di stereng