Kepala budak enam tahun tersangkut tudung periuk
Azyyati Ahmad
Jun 1, 2019 21:06 MYT
Jun 1, 2019 21:06 MYT
Seorang kanak-kanak berusia enam tahun tersangkut kepala pada tudung periuk di kediamannya di Taman Ampang Indah, dekat sini, sebentar tadi.
Pasukan bomba dan penyelamat terpaksa dipanggil apabila keluarganya gagal menanggalkan tudung periuk itu dalam kejadian kira-kira jam 8 malam ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 8.04 malam.
Sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan.
"Anggota bomba yang tiba di lokasi sembilan minit kemudian mendapati kepala seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun tersangkut dalam lubang tudung periuk.
"Anggota bomba kemudian menanggalkan tudung periuk itu dari kepala kanak-kanak tersebut dengan cara mengguntingkannya," katanya.
Difahamkan kanak-kanak tersebut sedang bermain dengan tudung periuk berkenaan sebelum itu.