Kepala alat sulit terpotong, remaja saman hospital kerajaan

Astro Awani
November 30, 2018 18:50 MYT
Lelaki berusia 18 tahun itu mendakwa kecuaian itu telah menyebabkan kepala alat sulitnya terpotong ketika berkhatan lapan tahun lepas. -Gambar hiasan
Seorang remaja lelaki menyaman pembantu perubatan dan dua doktor di dua hospital kerajaan berhubung dakwaan berlaku kecuaian semasa proses berkhatan sehingga menyebabkannya mengalami kecacatan kekal.
Lelaki berusia 18 tahun itu mendakwa kecuaian itu telah menyebabkan kepala alat sulitnya terpotong ketika berkhatan lapan tahun lepas, lapor Bernama.
Remaja berkenaan yang memfailkan saman melalui ibunya selaku plaintif pada 19 Julai lepas menamakan pembantu perubatan dan pegawai perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang; pengarah hospital itu; doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor serta Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama sehingga keenam.
Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa pada 13 Disember 2010, jam 10 pagi, defendan pertama bersama-sama dengan seorang pembantunya telah menjalankan prosedur berkhatan dengan kebenaran dan pengetahuan defendan kedua dan ketiga ke atas dua orang kanak-kanak lelaki termasuk anaknya, ketika itu berusia 10 tahun di sebuah premis kediaman di Kuala Lipis, Pahang.
Plaintif mendakwa semasa berkhatan, defendan pertama tidak mengikut prosedur yang ditetapkan apabila beliau telah memotong keseluruhan kepala zakar anaknya, yang ketika itu keadaan kulit zakar masih menutupi kepala kemaluan remaja berkenaan.
Dakwanya, akibat kecuaian itu, kepala zakar anaknya terputus dan darah keluar dengan sangat banyak serta defendan pertama juga didakwa membuat penyambungan semula ke atas kepala alat sulit berkenaan dengan menjahitnya tanpa mengikut prosedur yang betul.
Dakwa plaintif, semasa anaknya berada di Hospital Kuala Lipis, defendan kedua tidak memberikan rawatan dengan segera dan juga tidak memaklumkan kepada plaintif serta anggota keluarganya bahawa keseluruhan kepala alat sulit itu glans penis terputus akibat prosuder berkhatan yang tidak mengikut standard, sebaliknya hanya dimaklumkan saluran kencing anaknya telah terpotong.
Ibu kepada remaja itu juga mendakwa defendan kedua telah cuai kerana tidak membuat penyambungan semula kepala alat sulit itu dan mengambil masa terlalu lama untuk membuat keputusan menghantar anaknya bagi mendapatkan rawatan dengan segera di Hospital Selayang.
Dakwa plaintif, anaknya kemudian dibawa ke Hospital Selayang dan pembedahan dilakukan untuk menyambung semula kepala alat sulit dengan penutup getah diletakkan pada kepala zakar, namun selepas masuk hari ke-35, plaintif terperanjat selepas mendapati kepala alat sulit anaknya tidak ada lagi pada batang zakarnya.
Plaintif juga mendakwa defendan keempat memberi jaminan bahawa glans penis berkenaan kemungkinan akan tumbuh apabila anaknya mencapai usia akhir baligh, namun plaintif mendakwa apabila anaknya mencapai usia 17 tahun, kepala zakarnya tidak tumbuh dan remaja berkenaan mengalami kecacatan kekal di mana kemaluannya tidak dapat disambung semula.
Akibat kecacatan kekal itu, remaja berkenaan telah berubah sikap menjadi seorang yang amat pendiam dan tidak suka berkawan dengan rakan sebaya, sebaliknya berkawan dengan kanak-kanak yang lebih kecil serta tidak faham dunia seksualiti.
Plaintif juga terpaksa menanggung perbelanjaan dan kos yang tinggi semasa mendapatkan rawatan di Hospital Selayang termasuk perbelanjaan perjalanan dan rundingan dengan peguam yang kesemuanya berjumlah lebih RM100,000.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, faedah dan kos.
Dalam pembelaan difailkan pada 6 Sept lepas, defendan pertama menafikan dia telah cuai dan tidak mengikut prosedur yang betul ketika melakukan proses berkhatan.
Defendan kedua hingga keenam dalam pembelaan mereka pada 28 Sept lepas, menafikan mereka melakukan kecuaian ketika merawat remaja itu serta mendakwa remaja berkenaan tidak berhak menuntut sebarang ganti rugi kerana kecacatan pada zakarnya berpunca daripada tindakan defendan pertama.
Sementara itu, peguam Mohamad Zainuddin Abu Bakar dan Nur Eliza Abd Rashid, yang mewakili remaja itu ketika ditemui pemberita berkata kes saman berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya pada 7 Dis di hadapan Timbalan Pendaftar Rumaizah Baharom.
#berkhatan #Hospital #hospital kerajaan #Hospital Kuala Lipis #Hospital Selayang #pegawai perubatan #remaja lelaki #saman
;