Kepala air: Seorang maut, seorang hilang di air terjun Kampung Sebat

Bernama
April 12, 2024 15:09 MYT
Insiden tersebut melibatkan empat mangsa yang kesemuanya lelaki dengan dua daripada mereka berjaya diselamatkan orang kampung. - PGO Bomba Sarawak
KUCHING: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi masih hilang dalam insiden kepala air di air terjun Kampung Sebat, Sematan, kira-kira 100 kilometer dari bandar raya ini petang Jumaat.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 4.55 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu digerakkan ke lokasi berkenaan.
Menurutnya insiden tersebut melibatkan empat mangsa yang kesemuanya lelaki dengan dua daripada mereka berjaya diselamatkan orang kampung.
"Seorang mangsa juga berjaya dikeluarkan orang kampung namun disahkan meninggal di lokasi, manakala seorang lagi masih hilang.
"Usaha mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang ditangguhkan pada 7 malam tadi dan akan disambung esok," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#kepala air #mangsa korban #kampung sebat #air terjun