Kepala air di Lata Belatan fenomena biasa

Bernama
Disember 18, 2022 22:50 MYT
Hari ini tular di media sosial video menunjukkan kejadian kepala air di hutan lipur tersebut sehingga mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. - Gambar/ FB Dr Azman Ibrahim
JERTIH: Hujan lebat di daerah Besut sejak pagi tadi menyebabkan kejadian kepala air di kawasan Hutan Lipur Lata Belatan, di Jabi, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi Dr Azman Ibrahim berkata kejadian kepala air itu bagaimanapun merupakan fenomena biasa di kawasan tersebut.
"Tiada penempatan berdekatan kawasan hutan lipur itu, jadi tiada kerosakan kepada harta benda. Hutan lipur di bawah seliaan Pejabat Hutan negeri itu juga telah ditutup untuk pengunjung.
"Cuma kawasan bawah mungkin akan terkesan apabila berlaku banjir akibat limpahan air sungai di bahagian hilir," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.
Ikuti semua perkembangan mengenai banjir DI SINI!
Hari ini tular di laman media sosial video yang menunjukkan kejadian kepala air di hutan lipur tersebut sehingga mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warga net.
Dalam pada itu, Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Luar Bandar negeri, menyifatkan kejadian banjir di kawasan Jabi kali ini agak luar biasa.
Menurutnya bencana itu dianggap lebih besar berbanding biasa kerana ada penduduk yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sedangkan sebelum ini mereka tidak perlu berpindah.
-- BERNAMA
#banjir #kepala air #lata belatan #terengganu
;