Kepala air: 11 individu terkandas berjaya diselamatkan

Astro Awani
November 22, 2021 00:48 MYT
Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan 11 individu yang terkandas akibat kepala air di kawasan air terjun Sungai Pinang.
BATANG KALI: Tindakan pantas pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menyelamatkan 11 individu yang terkandas akibat kepala air di kawasan air terjun Sungai Pinang, Jalan Batang Kali menghala ke Genting, lewat petang Isnin.
Insiden dilaporkan berlaku pada jam 7.27 malam melalui panggilan kecemasan.
Seramai empat pegawai dan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut Ketua Bomba Dearah Hulu Selangor, Penguasa Kanan Ii, Samsol Maarif Saibani, sebaik pasukan tiba pada jam 7.40 malam, didapati kejadian kepala air telah berlaku di Sungai Pinang susulan hujan lebat di lokasi sejak petang.
“Pasukan bomba dan penyelamat daripada balai bomba kuala kubu bharu serta balai bomba bukit sentosa telah menyelamatkan 11 orang mangsa yang terpangkap oleh kepala air di Sungai Pinang di kawasan Jalan Genting - Batang Kali.
“Anggota bomba terdiri dari empat orang pegawai dan 10 anggota dan telah berjaya menyelamatkan mangsa yang dianggarkan berusia daripada umur 1 tahun sehingga umur 64 tahun," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, mangsa terdiri daripada lima kanak-kanak lelaki dan tiga perempuan, serta seorang lelaki dewasa dan dua wanita.
Operasi ditamatkan kira kira jam 9.30 malam dan tiada mangsa yang cedera.
#kepala air #terkandas #JBPM #Jalan Batang Kali #Sungai Pinang
;