Kepada mereka yang ingin cemar imej saya, rakyat lebih bijak menilai - Tunku Ismail
T K Letchumy Tamboo
Jun 15, 2015 18:11 MYT
Jun 15, 2015 18:11 MYT
“Kepada mereka yang ingin mencemar imej saya dan menjadikan saya musuh awam nombor satu, sesungguhnya rakyat lebih bijak dan mampu menilai sendiri.”
Ini adalah titah Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengulas mengenai kecaman Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz terhadapnya dengan menyuruhnya untuk menjauhkan diri dari politik.
“Kebelakangan ini, saya hanya menyuarakan pandangan supaya mereka yang diberikan amanah jangan salahkan rakyat kerana hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda, tetapi fikirkanlah mengapa rakyat telah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda.
“Nampaknya teguran saya secara baik ini telah mendapat maklum balas yang kasar daripada seorang menteri. Kalau saya mendapat jawapan sedemikian, apa harapan untuk teguran rakyat lain didengar?
“Anda seorang menteri, bukannya tuhan dari syurga yang tidak boleh ditegur.
“Jangan fikir rakyat negara ini wujud untuk memberikan anda jawatan dan kekayaan, tetapi jawatan tersebut wujud supaya anda memberikan khidmat kepada rakyat. Apabila saya bersuara, saya melakukannya sebagai pemimpin rakyat saya, rakyat Johor dan Malaysia.
“Saya hanya mengingatkan para pemimpin negara ini bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat, dan nampaknya oleh sebab itu saya diserang,” katanya di laman Facebook Johor Southern Tigers hari ini.
Baginda berkata keadaan di Malaysia pada hari ini adalah rakyat tidak mempunyai hak menyuarakan pendapat masing-masing dan menteri-menteri pantang ditegur.
“Saya rela dicemuh untuk mempertahankan perkara yang benar, daripada disanjung untuk membela perkara yang salah.
“Alhamdulillah, saya telah dikurniakan dengan kehidupan yang selesa. Kalau hendak diikutkan, saya boleh hidup dalam dunia saya sendiri tanpa menghiraukan permasalahan rakyat, tetapi saya di sini berdiri teguh bersama mereka.
“Jangan gunakan saya untuk mengalihkan tumpuan daripada isu-isu nasional yang lain. Negara ini memerlukan ahli politik yang bersih dan telus, yang menjalankan tanggungjawab mereka dengan keikhlasan dan integriti,” katanya.
Nazri Aziz sebelum ini mengecam Tunku Ismail ekoran status Facebook Tunku Ismail mengenai sesi dialog #Nothing2Hide.
Nazri berkata, Tunku Ismail harus menjauhkan diri daripada politik.
"Saya rasa beliau harus menjauhkan diri daripada politik. Jika tidak, beliau juga akan dapat benda yang sama. Kita akan 'whack' (belasah secara lisan) dia,” katanya.
Baginda kemudian membalas teguran Nazri, dengan sebuah video tanpa dialog yang memaparkannya ketika sedang bersantai di kerusi dan tersenyum seraya memberikan isyarat tangan pada Sabtu dipercayai membawa mesej “marilah.”
TMJ 'balas' teguran Nazri secara santai
“Saya bukan ahli politik. Saya hanya bertanggungjawab kepada Allah, Sultan saya, dan rakyat Johor. Saya bukannya menjalankan suruhan seperti boneka. Johor hanya mempunyai tempat bagi mereka yang mahu berkhidmat kepada rakyat, bukan untuk mereka yang mahu meraih undi demi kepentingan peribadi.
“Akan tiba suatu masa, di mana rakyat Johor perlu membuat keputusan demi kebaikan masa depan kita dan generasi yang akan datang.
“Kita akan bersatu dan membuat keputusan tersebut sebagai Bangsa Johor, untuk menempa masa depan kita. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Saya berdiri untuk rakyat saya, bukan untuk merebut kuasa, bukan untuk menumbangkan kerajaan, tetapi untuk menjaga kesejahteraan rakyat saya,’ katanya.
Tunku Ismail berkata baginda tidak pernah menyuruh sesiapa berundur atau meletak jawatan, tetapi hanya sekadar memberi ingatan kepada ahli politik berkenaan peranan dan tanggungjawab mereka.
“Sekiranya perkara seperti itu pun anda tidak boleh terima, jelaslah kepada seluruh rakyat betapa angkuh dan sombongnya anda.