"Kepada Allah saya berserah"- Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Astro Awani
Oktober 5, 2020 17:34 MYT
Dr Zulkifli mohon maaf atas sebarang bentuk kelemahan dan kekurangan daripada dirinya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif jangkitan COVID-19 memohon maaf di atas kelemahan dan kekurangan yang ada dalam diri beliau.
Dalam masa sama, beliau menyerahkan segala urusan kepada Allah.
“Kepada Allah saya berserah, kepadaNya jua saya memohon pertolongan.
“Saya mohon maaf atas sebarang bentuk kelemahan dan kekurangan daripada diri saya,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook peribadinya sebentar tadi.
Dalam hantaran sebelum itu, Dr Zulkifli mengesahkan beliau positif pandemik berkenaan.
BACA: Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri positif COVID-19
Sementara itu, beliau turut memaklumkan, bantuan Mus’adah Khas Siswa Siri 2 yang dijanjikan beliau kepada golongan siswa yang terkandas akan diteruskan oleh agensi-agensi agama di bawah kementerian Dr Zulkifli.
Kata belia, program-program Musa’adah COVID-19 yang telah diatur akan terus dijalankan seperti biasa di seluruh Malaysia.
Beliau berkata, masih ramai yang memerlukan bantuan kewangan, barangan asas, makanan dan lain-lain dalam tempoh yang getir ini dan sejak Mac lalu, pelbagai bantuan disalurkan pihaknya tanpa mengira agama dan bangsa.
“Pandemik COVID-19 benar-benar mengajar saya erti kebersamaan. Saya akan pastikan semua bantuan sampai kepada sasaran, Insya-Allah.
“Saya berdoa kepada Allah SWT semoga Allah SWT selamatkan dan sembuhkan rakyat Malaysia yang menghidap COVID-19 termasuk diri saya. Saya sayang anda semua,” ujar beliau lagi.
Dr Zulkifli juga berkata, sehingga saat ini keadaan kesihatan beliau bertambah baik.
“Terima kasih kepada Menteri Kesihatan Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan para doktor serta barisan hadapan yang amat prihatin dengan keadaan saya,” kata Dr Zulkifli.
#COVID19 #positif COVID #Menteri di Jabatan Perdana Menteri #Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri #serah pada Allah
;